Teguran ikhlas dariku buat Muslimah bergelar isteri

- Advertisement -

INGAT, kita hidup di zaman penuh fitnah, sehingga yang salah dianggap benar dan yang benar dianggap salah. 

Kebencian dan permusuhan menjadi pencetus salah sangka, fitnah memfitnah dan adu domba yang membawa kepada dendam dan permusuhan yang tidak berpenghujung. 

Oleh itu ingatlah wahai saudari-saudariku;

1. Habiskan masamu dengan suami dan anak-anakmu. Bangunkan suasana cintakan ilmu dan ibadah dalam rumah tanggamu. Jangan sekali-kali kalian suburkan suasana lalai dengan hiburan dan bermewah-mewah. Kerana kita semua sudah tidak punya banyak masa untuk bersiap bagi menghadapi huru-hara akhir zaman.

2. Jadilah isteri yang baik dan taat. Kerana suami bagi seorang isteri adalah persis seorang Nabi bagi umatnya. Kepadanya kamu sandarkan cinta, kepadanya kamu harapkan redha, kerana dialah syurgamu selepas kalian berdua diijab kabulkan. Bantulah ia sekuat tenagamu, kerana seluruh kegiatannya adalah demi kebaikanmu dunia dan akhirat. 

3. Jangan kongsikan masalah rumah tanggamu dan ceritamu dengannya di media sosial. Sekalipun kepada sahabat dan rakan-rakanmu. Kerana itu khianat namanya dan kamu tidak akan selamat dunia dan akhirat. Cuba fahami ke mana suamimu ingin membawamu. Jika kepada kebaikan ikutlah ia penuh taat, Jika kepada kejahatan nasihatilah ia penuh hormat. Cuba engkau renung jauh ke dalam bola matanya. Ia banyak menyimpan rahsia. Namun mata itu tidak akan menangis di hadapanmu kerana dia tidak mahu dilihat lemah kerana dia tahu kepadanya kamu ingin berpaut.

4. Berbaik sangkalah dengan teman-temanmu. Jangan terpengaruh dengan ganasnya dunia yang membujuk penghuninya agar keluar dari batas-batas agama. Kononnya demi mempertahankan hak dan maruah. Sedangkan dengan meninggalkan batasan agama itulah manusia akan kehilangan harga diri dan maruah.

5. Bersyukurlah dengan apa yang kalian ada. Kalian tidak perlu membandingkan suami dan kehidupan kalian dengan siapa-siapa hatta dengan saudara-saudara kalian. Kerana jika Allah telah mengurniakan kehidupan beragama dan nafkah yang halal untuk kalian dan anak-anak itu sudah merupakan nikmat besar dari Allah buat kalian. Nikmat Allah yang mana lagi yang kalian dustakan?

6. Hindari rakan-rakan yang rosak. Rakan-rakan yang gemar membuka aib keluarga dan suami mereka kepada kalian. Jangan risau tidak punya teman, tapi risaulah jika ramai teman tetapi tiada seorang pun yang membawa kalian kepada syurga.

7. Dengarlah nasihat kebaikan walau dari lidah musuh. Apatah lagi dari saudaramu seagama, sekalipun ia tidak sempurna. Kerana hakikatnya tiada siapa yang sempurna.

Demikian nasihat ikhlas dariku. Itulah pengamatanku terhadap sebahagian dari kalian yang sangat menggerunkan. Aku tidak mampu membuat diri kalian bersangka baik kepadaku. Aku hanya mampu mengajar diriku bersangka baik kepada kalian. 

Kalian sangat bertuah jika punya suami yang dapat mengasuh kalian kepada kebaikan dan agama. Kerana itulah anugerah besar dari Tuhan. Lalu hiduplah secara beragama dan didiklah anak-anak kalian agar beramal dengan agamanya.

Petikan dari draf buku saya ‘bicara hati buat insan yang bergelar Isteri, road to jannah’.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 7/2/2023

- Advertisement -
- Advertisement -