Piala Kelab Dunia: Flamengo tidak pandang mudah Al Hilal

Vitor Pereira (kanan) dan David Luiz ketika sidang akhbar di Tangier, Maghribi.
- Advertisement -

Flamengo tidak akan membuat kesilapan dengan memandang mudah kelab Arab Saudi, Al Hilal dalam perlawanan separuh akhir Piala Kelab Dunia FIFA hari ini dan bertekad memberikan perhatian serius terhadap cabaran yang menanti.

- Advertisement -

Sejak FIFA menukar Piala Antara Benua, pertandingan yang menemukan juara Piala Eropah dan Copa Libertadores, kepada format baharu dengan penyertaan kelab dari benua lain, pasukan Amerika Selatan tewas lima kali di peringkat separuh akhir.

“Kami tidak akan terjerumus dalam perangkap dengan memikirkan menentang Al Hilal adalah perlawanan yang mudah,” kata Pengurus Flamengo, Vitor Pereira.

“Mereka adalah pasukan yang bagus dan mempunyai tradisi untuk menyukarkan lawan dalam Piala Kelab Dunia, jadi kami tidak akan mengambil mudah mereka.

“Kami bermotivasi untuk membawa kegembiraan kepada peminat kami. Kami mewakili berjuta-juta penyokong dan juga mewakili seluruh benua,” katanya ketika sidang akhbar perlawanan separuh akhir.

Pereira mengakui tekanan untuk tidak mengecewakan rakyat Brazil yang melihat Piala Kelab Dunia sebagai gelaran paling penting boleh dimenangi oleh kelab Amerika Selatan, tetapi berkata ia berfungsi sebagai insentif dan bukan cabaran tambahan.

“Tekanan untuk memenangi kejuaraan adalah hebat. Tekanan menjadi buruk apabila anda berjuang untuk mengelakkan penyingkiran,” kata Pereira.

“Namun, tekanan yang kami rasai hari ini adalah tekanan yang membakar semangat anda dari dalam, yang mengujakan, kerana ia adalah peluang yang unik.

“Kami tinggal dua perlawanan lagi daripada detik paling luar biasa dalam karier kami.”

Pemain pertahanan, David Luiz, yang tewas dalam perlawanan akhir Piala Kelab Dunia bersama Chelsea pada 2012, bersetuju dengan jurulatihnya dan menegaskan pemain tidak memikirkan kemungkinan pertembungan menentang Real Madrid, Sabtu ini.

“Perlawanan akhir kami ialah menentang Al Hilal pada hari Selasa,” kata David Luiz ketika sidang akhbar yang sama.

“Impian untuk memenangi Piala Kelab Dunia bermula pada perlawanan pertama Copa Libertadores tahun lalu. Itulah sebabnya kami harus berfikir secara eksklusif mengenai separuh akhir.

“Ini adalah perlawanan akhir kami pada masa ini, ia akan menjadi sangat sukar. Kami tahu kami akan berdepan lawan yang layak,” katanya.

Jurulatih Al-Hilal, Ramon Diaz, mengakui bahawa Flamengo adalah pilihan untuk menang, tetapi pasukannya akan cuba mengejutkan gergasi Amerika Selatan itu.

“Kami perlu bersedia dan fokus sepanjang perlawanan supaya tidak mensia-siakan peluang apabila ia datang,” kata Diaz..

“Pasukan kami memenangi Liga Juara-Juara Asia sebanyak dua kali dalam tempoh tiga tahun. Kami mempunyai 12 pemain dari pasukan kebangsaan Arab Saudi, jadi kami akan bersaing,” katanya. – REUTERS

- Advertisement -