Petisyen pilihan raya BN Masjid Tanah ditolak

Pasukan peguam PERIKATAN NASIONAL bagi petisyen pilihan raya Parlimen Masjid Tanah.
- Advertisement -

AYER KEROH: Mahkamah Tinggi Melaka hari ini membuat keputusan membatalkan petisyen pilihan raya yang dikemukakan calon BN bagi parlimen Masjid Tanah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, Abdul Hakim Abdul Wahid.

- Advertisement -

Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis membenarkan bantahan awal dibuat responden di mana perlakuan rasuah perlu difailkan dalam tempoh 28 hari dari tarikh kejadian tersebut didakwa berlaku.

Peguam Mas Ermieyati, Mohd Faizi Che Abu berkata, hakim menerima dua daripada empat alasan bantahan yang dibuat pada 20 Januari lepas iaitu berkaitan tarikh petisyen di luar masa dan kandungan fakta petisyen tidak lengkap.

Katanya pada kes tersebut perlakuan rasuah didakwa berlaku pada 19 November dan berlaku kelewatan 17 hari daripada tarikh yang dibenarkan kes itu difailkan.

“Itu alasan yang pertama. Yang kedua berkaitan penjamuan. Penjamuan pun dibuat pada 3 Disember, ia tetap lambat selama tiga hari,” katanya ketika ditemui selepas prosiding kes tersebut.

Pada 3 Januari lalu, Abdul Hakim memfailkan petisyen di Mahkamah Pilihan Raya bagi membatalkan kemenangan Mas Ermieyati atas dakwaan berlaku sogokan berbentuk wang dan jamuan bagi meraih undi pada PRU15.

Pada PRU15, Abdul Hakim memperoleh 21,193 undi tewas kepada Mas Ermieyati dalam pertembungan empat penjuru dengan majoriti 4,411 undi.

Pada kes tersebut Abdul Hakim diwakili oleh peguam Rosfinah Rahmat dari Tetuan Rosfinah & Co.

Mohd Faizi berkata, dengan keputusan tersebut hakim mengeluarkan perintah di bawah Seksyen 36 dengan mengisytiharkan bahawa Mas Ermieyati Samsudin telah dipilih secara sah dan kekal sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah.

Menurutnya juga hakim menolak petisyen memandangkan fakta berkaitan ejen responden yang didakwa melakukan rasuah tidak dijelaskan bukti pelantikan dan hubungan mereka dengan responden.

“Mereka ada menamakan individu-individu, tetapi dalam petisyen tidak dijelaskan macam mana responden melantik individu individu yang dikatakan ejennya.

“Jadi fakta itu tidak jelas dalam petisyen. Bila fakta-fakta tidak jelas ia tidak mematuhi kaedah-kaedah petisyen yang dikemukakan,” ujarnya.

Selain itu katanya juga alasan iaitu berkaitan setem pada dokumen pelantikan peguam dan memasukkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden sebagai tiada merit. – HARAKAHDAILY 7/2/2023

- Advertisement -