Perkuat pertahanan: India hasilkan 1,000 helikopter setahun

Helikopter Tentera Udara India Sarang melakukan pertunjukan lintas langsung dalam upacara perarakan tamat pengajian di Akademi Tentera Udara di Dundigal, pinggir Hyderabad, India pada 17 Dis 2022. (FOTO FAIL: AP)
- Advertisement -

BENGALURU: India bakal menghasilkan sekurang-kurangnya 1,000 helikopter setahun, sebagai sebahagian daripada usaha berdikari dalam memperkuatkan sistem pertahanan negara itu untuk mengatasi penguasaan China yang semakin meningkat.

- Advertisement -

Negara tersebut sehubungan itu telah melancarkan kilang penghasilan helikopter terbesarnya pada Isnin (6 Feb).

New Delhi juga mengumumkan peningkatan dua angka dalam belanjawan pertahanan tahunannya minggu lalu dengan memerhatikan rapi negara pesaing geopolitiknya itu, yang mana ia berkongsi sempadan di utara yang kini dalam pertikaian, lapor AFP.

India ialah salah satu pengimport senjata terbesar di dunia dan, walaupun dengan usaha terbarunya ke arah pengeluaran pertahanan tempatan, masih banyak bergantung pada perkakasan dari Moscow, yang merupakan pembekal tentera terbesar dan tertuanya.

Perdana Menteri, Narenda Modi dalam kenyataan selepas majlis perasmian kilang itu berkata, kemudahan pengeluaran helikopter terbaharu itu memenuhi ikrar kerajaan untuk mengurangkan secara beransur-ansur pergantungan India kepada negara asing bagi keperluan pertahanannya.

“Saya gembira kerana beratus-ratus senjata dan sistem pertahanan yang berbeza – daripada senapang serangan moden kepada kereta kebal, kapal pengangkut pesawat, helikopter dan pesawat pengangkut – kini dibuat di India,” ujarnya.

Apa yang digembar-gemburkan sebagai kilang helikopter terbesar di Asia itu pada mulanya dijadualkan akan menghasilkan Helikopter Utiliti Ringan yang direka dan dibangunkan oleh India, namun kemudian berkembang untuk membina helikopter pelbagai peranan yang lain.

Kilang di negeri Karnataka selatan itu dirasmikan hanya beberapa bulan selepas New Delhi melancarkan kilang penghasilan helikopter serangan buatannya, yang direka untuk digunakan di kawasan altitud tinggi seperti Himalaya.

India juga memperkenalkan kapal pengangkut pesawat buatanya yang pertama pada September 2022, satu langkah penting dalam usahanya untuk mengatasi kehadiran Beijing yang semakin meningkat di rantau Lautan Hindi.

Negara ekonomi ketiga terbesar di Asia itu juga menjadi hanya satu daripada enam negara yang mempunyai keupayaan serangan nuklear di darat, laut dan udara selepas ia menguji peluru berpandu balistik daripada kapal selam berkuasa nuklear aslinya yang pertama.

Terdahulu, India telah berperang dan mempunyai pertikaian sempadan yang berlarutan dengan kedua-dua negara jiran bersenjata nuklearnya –  Pakistan dan China.

Dua puluh tentera India terbunuh dalam pertempuran sempadan dengan China pada tahun 2020. – HARAKAHDAILY 7/2/2023

- Advertisement -