Penyelidik UniMAP cemerlang 100 peratus IPITEX 2023 Thailand

- Advertisement -

ARAU: Seramai 28 penyelidik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) termasuk pensyarah dan pelajar berjaya meraih kejayaan cemerlang 100 peratus pingat di Bangkok International Intellectual Property, Invention, Innovation and Technology Exposition (IPITEX) 2023. 

- Advertisement -

Pencapaian itu adalah melalui pecahan enam pingat emas, 17 perak dan lima gangsa di pertandingan inovasi yang berlangsung di Bangkok International Trade & Exhibition Centre (BITEC), Thailand pada 2 hingga 6 Feb 2023.

Naib Canselor UniMAP, Prof. Dato’ Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata, delegasi universiti berkenaan disertai lebih 70 peratus saintis wanita dan merupakan penyelidik baharu bagi menyahut saranan kerajaan dalam isu kesamarataan jantina dalam bidang sains di Malaysia.

“Adalah menjadi keutamaan kepada UniMAP dan dalam masa yang sama membuka ruang kerjasama yang lebih besar terutamanya dengan rakan ASEAN yang lain,” ujarnya. 

Lebih membanggkan, dua penyelidik UniMAP turut diumumkan merangkul anugerah utama IPITEX 2023.

“Pensyarah di Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Mekanikal, Leong Kean Wai diumumkan sebagai pemenang Asean Excellence Invention & Innovation Award; sementara pensyarah Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Kimia (FKTK), Prof. Madya Dr. Norsuria Mahmed pula berjaya memperoleh NRCT Special Award,” tambah beliau.

IPITEX 2023  yang disertai lebih 25 buah negara itu dirasmikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Sains, Penyelidikan dan Inovasi Thailand, Prof. Anek Laothamatas sempena Thailand Inventors Day anjuran National Research Council Thailand (NRCT).

Antara negara yang menyertai selain tuan rumah dan Malaysia termasuklah Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong, Indonesia, Vietnam, Filipina, Loas, Poland, Romania, Arab Saudi, Jepun dan Rusia. 

Sementara itu, Ketua delegasi UniMAP yang juga Dekan FKTK Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah berkata, sempena pameran berkenaan FKTK meletakkan fokus kepada mempertingkatkan hubungan akademik dan penyelidikan dengan negara ASEAN dan sesuai dengan teras fakulti yang memfokuskan kepada kepada program-program ke arah ‘International Reseach Visibility Outreach’ (ReVO). 

“Dalam masa yang sama juga, FKTK UniMAP berjaya menganjurkan persidangan World Integrated Chemical & Materials Engineering Technology Conference (WiCMETC 2023) buat pertama kali pada 4 hingga 5 Februari 2023 di Hotel Avana Bangkok Thailand yang diketuai pengerusi WiCMETC, Prof. Madya Dr. Hakimah Osman.

“Penganjuran julung kali ini berjaya menerima lebih daripada 70 artikel daripada beberapa negara antaranya United Kingdom, Indonesia, Korea, Thailand, Oman, Brunei dan beberapa negara lain,” kata beliau dalam satu kenyataan, di sini.

Penganjuran WiCMETC 2023 turut mendapat kerjasama daripada Papua New Guinea University of Technology dan King Mongkut University of Technology Thornburi Thailand yang memberi fokus kepada dua bidang utama fakulti iaitu Kimia dan Bahan selari dengan hasrat fakulti untuk menjadi Top 300 Dunia dalam bidang Kimia pada 2030. – HARAKAHDAILY 7/2/2023

- Advertisement -