Penyelidik ramal gempa tiga hari sebelum kejadian

Frank Hoogerbeets meramal tentang kejadian gempa bumi di Turkiye melalui Twitternya yang bertarikh 3 Feb 2023. (FOTO: Time News)
- Advertisement -

ISTANBUL: Tragedi gempa bumi yang melanda Turkiye dan Syria pada Isnin (6 Feb) telah diramal oleh penyelidik Belanda, Frank Hoogerbeets melalui Twitternya pada 3 Feb – tiga hari sebelum kejadian.

- Advertisement -

“Cepat atau lambat, gempa bumi 7.5 magnitud akan melanda selatan dan tengah Turki, Jordan, Syria, Lubnan,” tweetnya pada 3 Feb, namun tiada yang mengendahkannya dan menganggap lelaki berjanggut itu sebagai individu yang mistik dan hasil penyelidikannya sebagai tidak sahih.

Namun, tiga hari kemudian gempa bumi berukuran 7.8 magnitud melanda Turki dan Syria dan setakat ini telah meragut 5,000 nyawa, yang mana gempa susulan 7.5 magnitud turut menyumbang kepada kemusnahan yang besar, dan gegaran dirasai sehingga ke Kaherah, Mesir.

“Lambat laun akan berlaku ~M 7.5 #gempa di rantau ini (selatan dan tengah Turki, Jordan, Syria, Lubnan). #deprem (gempa bumi, dalam bahasa Turkiye),” tulis penyelidik Belanda itu.

Gegaran magnitud tinggi itu berlaku pada 4.17 pagi waktu tempatan pada Isnin (6 Feb) di tenggara Turki berhampiran sempadan Syria, manakala pusat gempa itu berhampiran bandar Gaziantep.

Mesej dalam Tweet Hoogerbeets  ini menjadi viral pada hari kejadian gempa berkenaan dan beliau kemudian  membuat susulan dengan mesej Facebook, memperincikan bagaimana dia meramalkan malapetaka itu.

“Hati saya bersuara kepada semua yang terjejas oleh gempa bumi besar di tengah Turki. Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, lambat laun ini akan berlaku di rantau ini, sama seperti pada 115 dan 526 Sebelum Masihe (SM). 

“Gempa bumi ini sentiasa didahului oleh geometri planet yang kritikal, pada 4 hingga 5 Februari 2023,” katanya.

Hoogerbeets bekerja sebagai penyelidik dengan Tinjauan Geometri Sistem Suria (SSGEOS) – sebuah institut penyelidikan yang memantau geometri jasad angkasa berhubung dengan aktiviti seismik lapisan bumi.

Dalam pada itu, pada 2 Februari – empat hari sebelum tragedi gempa bumi itu, seorang penyelidik Turki juga telah meramalkan aktiviti seismik di kawasan kejadian.

Melalui akaun Twitter @ssgeos, penyelidik  menjangkakan kemungkinan aktiviti seismik yang lebih sengit berlaku antara 4 dan 6 Februari 2023 dengan tweetnya pada 2 Feb itu berbunyi: “Kemungkinan besar magnitud sederhana atau lebih daripada 6  dan dengan sedikit peluang kejadian seismik yang lebih besar akan berlaku sekitar 4 Feb 2023.”

Gempa bumi bukan sesuatu yang luar biasa di Turkiye kerana majoriti negara itu terletak di Plat Anatolia, yang bersempadan dengan dua garisan sesar utama – sesar Anatolia Utara, yang merentangi seluruh negara dari barat ke timur, dan sesar Anatolia Timur, yang terletak di timur Turki.

Garisan sesar merupakan rekahan atau zon rekahan pada bantuan atau permukaan bumi yang telah mengalami pergeseran akibat daripada pergerakan di antara dua blok yang mempunyai arah pergerakan yang berlainan. 

Kejadian gempa bumi terbaharu di Turkiye itu menurut pensyarah Lamont Research di Columbia University, Amerika Syarikat, Prof Michael Sreckler dalam kenyataannya pada 7 Feb berlaku adalah kerana ‘dua keping lapisan bumi menggelongsor secara mendatar melepasi satu sama lain’.

“Ia adalah jenis gempa bumi sama yang berlaku di sepanjang garisan sesar San Andreas di California, AS,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/2/2023

- Advertisement -