PAT2023 dinantikan rakyat Perlis, pelancong

- Advertisement -

ARAU: Setelah dua tahun Pesta Angin Timur (PAT) tidak dapat dianjurkan secara fizikal akibat pandemik Covid-19, orang ramai dan pelancong luar tidak sabar menanti pesta rakyat yang dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 5 Mac di Kampung Sungai Padang, Simpang Empat.

- Advertisement -

Seorang nelayan dari kampung berkenaan Mohd Zaini Ahmad, 56, berkata temasya sukan rakyat itu amat dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Perlis yang rindukan kemeriahan PAT.

“Kami sudah pasti rindu dengan pesta tersebut yang bukan hanya meriah sebaliknya mampu mengeratkan lagi perpaduan seluruh rakyat berbilang kaum di negeri ini.

“Paling menyeronokkan, ini adalah kali pertama kampung kami (Kampung Sungai Padang) dipilih sebagai tapak PAT2023,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Mohd Zaini berkata program yang dinantikan oleh penduduk kampung adalah sukan rakyat seperti pertandingan memancing, menangkap itik, pertandingan tarik tali, menggagau ikan dalam sawah dan sebagainya kerana ia dapat merapatkan lagi hubungan silaturahim semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.

Turut berkongsi pendapat, seorang peniaga makanan Mohd Muhaimin Ab Nasir, 30, berkata PAT2023 ditunggu oleh peniaga kecil sepertinya kerana ini adalah peluang besar bagi menambah pendapatan penduduk kampung.

“Saya telah buat tempahan awal bagi dapatkan sebuah tapak untuk jual minuman dan sate. Saya berharap dapat menambah pendapatan keluarga,” kata bapa kepada dua orang anak itu yang sebelum ini bekerja sebagai nelayan di Terengganu.

Katanya kepulangan beliau ke Perlis diharap dapat membina kerjaya baharu sebagai peniaga makanan.

Seorang siswazah Nur Farahani Abdullah, 25, berkata PAT 2023 memberi suasana yang baharu lebih meriah kepada rakyat negeri ini selepas pandemik Covid-19 di samping menceriakan kembali masyarakat di sini dengan sajian sukan rakyat.

“Orang yang paling seronok dengan PAT2023 sudah pasti kanak-kanak, dalam masa yang sama PAT2023 dapat mendekatkan adik-adik dengan permainan rakyat yang semakin dilupakan oleh generasi muda hari ini,” katanya.

Katanya selain itu juga PAT2023 dapat memberi pendedahan dan pengalaman kepada pelancong luar untuk merasai suasana sebenar kehidupan di kampung.

PAT 2021 dianjurkan secara dalam talian manakala PAT2022 dianjurkan secara hybrid akibat penularan pandemik Covid-19, namun mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat setempat dan pelancong luar negara.

PAT 2023 memasuki edisi ke-11 dan merupakan program tahunan kerajaan Perlis bagi menarik pelancong ke negeri ini.

Temasya itu juga bertujuan untuk menyemarakkan dan mengangkat kembali keunikan kesenian serta warisan tradisi rakyat Malaysia melalui aktiviti dan pengisian yang memaparkan aktiviti petani tahun 1950-an dan 60-an selepas musim menuai padi. – BERNAMA

- Advertisement -