Korban gempa bumi Turkiye, Syria meningkat kepada lebih 3,700

Pekerja penyelamat dan penduduk mencari mangsa yang terselamat di celah runtuhan bangunan di Adana, Turkiye.
- Advertisement -

KAHRAMANMARAS (TURKIYE)/DAMSYIK (SYRIA): Mangsa gempa bumi kini meningkat kepada lebih 3,700 orang merentasi kawasan Turki dan barat laut Syria.

- Advertisement -

Cuaca musim sejuk yang membeku menambah penderitaan beribu-ribu orang yang tercedera atau kehilangan tempat tinggal dan menghalang usaha mencari mangsa yang terselamat.

Gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter itu meruntuhkan seluruh blok pangsapuri di bandar-bandar Turki dan menimbulkan lebih banyak kemusnahan kepada berjuta-juta rakyat Syria yang kehilangan tempat tinggal akibat perang bertahun-tahun.

Bencana ini melanda sebelum matahari terbit dalam cuaca buruk, diikuti satu lagi gempa besar pada awal petang.

Di Diyarbakir di tenggara Turki, seorang wanita bercakap di sebelah runtuhan blok tujuh tingkat yang sebelum ini didiaminya dengan berkata: “Kami digoncang seperti buaian. Terdapat sembilan orang di rumah kami. Dua anak lelaki saya masih dalam runtuhan, saya sedang menunggu mereka.”

Wanita itu mengalami kecederaan pada muka, manakala tangannya patah.

“Ia seperti kiamat,” kata Abdul Salam al-Mahmoud, seorang warga Syria di bandar utara Atareb. “Ia sangat sejuk dan hujan lebat dan orang ramai perlu berjimat.”

Gempa bumi ini adalah yang terbesar direkodkan di seluruh dunia oleh Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS) sejak gegaran terpencil Atlantik Selatan pada Ogos 2021.

Di Turkiye, Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) memberitahu bahawa angka kematian adalah seramai 2,316 orang, menjadikannya gempa bumi ini paling dahsyat di negara itu sejak gegaran magnitud yang sama pada 1999.

Gempa bumi itu memusnahkan wilayah timur Laut Marmara berhampiran Istanbul, yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi menyebabkan lebih 17,000 orang terbunuh.

Menurut angka kerajaan Damsyik dan pekerja penyelamat di wilayah barat laut yang dikawal oleh penentang kerajaan, sekurang-kurangnya 1,444 orang terbunuh di Syria dalam gempa semalam, manakala kira-kira 3,500 cedera.

Liputan internet yang lemah dan jalan raya rosak di beberapa bandar yang paling teruk dilanda di selatan Turki yang didiami berjuta-juta orang, menghalang usaha untuk menilai dan menangani kesan gempa bumi.

Suhu di beberapa kawasan dijangka turun hampir paras beku semalaman, memburukkan keadaan bagi orang yang terperangkap di bawah runtuhan atau kehilangan tempat tinggal. Hujan selepas ribut salji melanda negara pada hujung minggu.

Lebih 13,000 orang cedera di Turkiye akibat gempa itu.

Di bandar Iskenderun di Turkiye, penyelamat memanjat timbunan besar runtuhan yang pernah menjadi sebahagian unit rawatan rapi hospital negeri untuk mencari mangsa yang terselamat. Pekerja kesihatan melakukan apa yang mampu untuk merawat pesakit yang cedera.

“Kami mempunyai seorang pesakit yang telah menjalani pembedahan, tetapi kami tidak tahu apa yang berlaku kepadanya,” kata Tulin, seorang wanita berusia 30-an yang berdiri di luar hospital, mengesat air mata dan berdoa.

Presiden Turkiye, Tayyip Erdogan, yang bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya pada Mei ini, menyifatkan gempa bumi itu sebagai bencana terburuk yang melanda negara itu sejak 1939, tetapi menegaskan bahawa pihak berkuasa melakukan semua yang mereka mampu.

“Semua orang meletakkan hati dan jiwa mereka dalam usaha mencari dan menyelamat walaupun dalam keadaan cuaca sejuk dan gempa bumi yang berlaku pada waktu malam menyukarkan keadaan,” katanya.

Gempa kedua juga cukup kuat untuk menjatuhkan lebih banyak bangunan seperti kejadian pertama, dirasai di seluruh wilayah, membahayakan penyelamat yang bergelut untuk menarik mangsa dari runtuhan. – REUTERS

- Advertisement -