Kelantan komited laksana pembangunan teknologi hijau

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri melalui Kelantan Utilities Mubaarakan (KUM) Holdings Sdn Bhd berusaha membangunkan teknologi baharu yang dikenali Refuse-Derived Fuel (RDF).

- Advertisement -

Anggota Exco kerajaan negeri Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, pihaknya komited melaksanakan pembangunan teknologi hijau selaras Pelan Induk Pembangunan Mampan (PIPM) Kelantan.

Katanya menerusi teknologi itu, bahan tenaga dihasilkan daripada pelbagai jenis sisa sampah seperti sisa pepejal perbandaran (MSW), sisa industri atau sisa komersial yang mudah terbakar selain Polivinil Klorida (PVC).

“Teknologi RDF dihasilkan daripada sisa sampah kering yang dihancurkan untuk dijadikan pellets, ia tidak boleh mengandungi 30 peratus air atau sampah basah.

“Sampah kering kita boleh terus proses untuk dijadikan bahan RDF dalam bentuk pellet bagi menghasilkan produk seperti arang yang boleh menggantikan kayu sebagai bahan pembakaran,” katanya di sini.

Tuan Mohd Saripuddin juga berkata Program Komuniti Alam Hijau (PKAH) merupakan salah satu aktiviti bagi memupuk kesedaran masyarakat seawal usia tujuh tahun di institusi pendidikan terhadap kepentingan pengasingan sampah sarap harian.

Menurutnya, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM150,000 untuk diagihkan kepada sekolah bagi membeli tong sampah kitar semula serta melaksanakan program dan aktiviti pengasingan sampah.

“Kesedaran masyarakat mengenai pengasingan sampah di negara kita masih lagi kurang,” katanya yang juga Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar.

Kata beliau juga kerajaan negeri melalui KUM menerima permintaan daripada pelabur untuk memulakan usaha tersebut dalam skala yang besar. – HARAKAHDAILY 7/2/23

- Advertisement -