ANTAKYA, TURKIYE: Pasukan penyelamat bergelut untuk menggali mangsa keluar dari runtuhan bangunan runtuh dan berlumba dengan masa ketika jumlah kematian akibat gempa bumi merentasi kawasan luas di Turkiye dan Syria melepasi 5,000 orang.
Gempa pada skala Richter 7.8 adalah yang paling banyak mengorbankan nyawa di Turkiye sejak 1999
Beribu-ribu bangunan roboh, hospital dan sekolah musnah, manakala puluhan ribu orang cedera atau kehilangan tempat tinggal di beberapa bandar Turkiye dan Syria.
Seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata beribu-ribu kanak-kanak mungkin antara yang maut.
Cuaca musim sejuk yang teruk menghalang usaha mencari dan menyampaikan bantuan menyebabkan nasib penduduk yang kehilangan kediaman lebih sengsara. Beberapa kawasan pula tidak mempunyai bahan api dan elektrik.
Pegawai bantuan menyuarakan kebimbangan berhubung situasi di Syria yang dilanda krisis kemanusiaan selepas hampir 12 tahun perang saudara berlanjutan.
Di Turki, angka kematian meningkat kepada 3,419 orang menjelang pagi Selasa, kata Naib Presiden, Fuat Oktay. Di Syria, jumlah kematian berjumlah lebih 1,600, menurut kerajaan dan perkhidmatan penyelamat di barat laut yang dikuasai penentang.
Pihak berkuasa Turki berkata kira-kira 13.5 juta orang terjejas di kawasan yang merangkumi kira-kira 450 kilometer dari Adana di barat ke Diyarbakir di timur, serta 300 kilometer dari Malatya di utara ke Hatay di selatan. Pihak berkuasa Syria pula melaporkan kematian sejauh selatan Hama, kira-kira 100 kilometer dari pusat gempa.
“Ia kini perlumbaan dengan masa,” kata Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus di Geneva. “Setiap minit, setiap jam yang berlalu, peluang untuk mencari mangsa yang masih hidup semakin berkurangan.” – REUTERS
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!