Ibu tunggal antara cabaran bagi ADUN Wanita

Zuraida Md Noor
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Bilangan ibu tunggal di Terengganu meningkat sehingga hampir 10,000 orang dalam masa tiga tahun berdasarkan statistik terbaru yang direkodkan kerajaan Terengganu.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor berkata, peningkatan kepada 43,471 orang pada tahun 2020 berbanding sekitar 35,000 orang pada 2018 amat mengejutkannya.

“Mereka merupakan antara segmen atau sasaran paling dekat dengan ADUN Wanita dan ia satu cabaran bagi saya sendiri. Sebab itu, banyak usaha dijalankan antaranya melalui pencegahan dan pemulihan menumpukan isu melibatkan nafkah, pengabaian, dera dan sebagainya.

“Kadang-kadang, apabila terjadi perceraian pasti akan berlakunya pengabaian anak-anak dan nafkah. Di peringkat negeri, kita ada kelab ibu tunggal di 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu dan dipantau rapi oleh di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK),” katanya dalam Bicara Isu Semasa di TV Darul Iman, baru-baru ini.

Jelasnya, kerajaan negeri cuba menangani isu tersebut dengan dua keadaan iaitu mencegah dan memulihkan serta penjagaan kebajikan dan perlindungan mangsa.

Kerajaan negeri melalui Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) menyediakan modul kemahiran dalam mengurus kewangan dan pendidikan berikutan banyak juga perceraian disebabkan kewangan serta program kesedaran buat wanita dalam undang-undang bagi memberdaya wanita di Terengganu

“Kita turut menyarankan supaya dalam khutbah disebut juga peranan suami sebagai usaha memberi kesedaran kepada kaum lelaki dalam memberi nafkah anak-anak dan menjaga kerukunan rumah tangga selain mengadakan kempen melalui program Second Honeymoon oleh YPK.

“Bantuan kebajikan juga cukup banyak yang disalurkan kepada golongan wanita.

“Bermula Januari sehingga sekarang, kita melaksanakan gerak kerja menunaikan Belanjawan 2023 yang dibentangkan kerajaan negeri.

“Bagaimana kita nak mengamalkan negeri berkebajikan, supaya rakyat merasai nikmat yang Allah SWT kurniakan di Terengganu ini seperti royalti dan kita dapat salurkan kepada rakyat yang memerlukan,” katanya.

ADUN Wanita itu menambah, agenda membangunkan wanita perlu seiring dalam membangunkan peribadi lelaki yang bertanggungjawab.

“Hari ini, keadaan anak-anak muda kita cukup rapuh. Apabila diuji perkahwinan awal usia mereka sering mengambil jalan singkat untuk bercerai. Kita tidak mahu perceraian terus berleluasa,” luahnya. – TRDI.my

- Advertisement -