Gempa bumi menambah kesengsaraaan pelarian Syria

Bangunan yang runtuh di bandar Harem di wilayah Idlib.
- Advertisement -

IDLIB: Gempa bumi yang melanda barat daya Syria menimbulkan lebih banyak kesengsaraan di wilayah ini yang mengalami penderitaan luar biasa sejak sedekad lalu.

- Advertisement -

Wilayah itu dibahagikan antara kawasan yang dikuasai kerajaan dan kawasan terkepung terakhir yang dikuasai penentang, dikelilingi tentera kerajaan. Turkiye pula menjadi rumah kepada berjuta-juta pelarian Syria akibat perang saudara itu.

Di kawasan yang dikuasai penentang, beratus-ratus keluarga masih terperangkap di bawah runtuhan, kata pertubuhan kecemasan penentang kerajaan yang dipanggil White Helmets dalam satu kenyataan.

Kawasan itu dipenuhi dengan kira-kira empat juta orang yang berpindah dari kawasan lain Syria akibat peperangan. Ramai daripada mereka tinggal di bangunan yang rosak teruk akibat pengeboman sebelum ini.

Rantau ini terletak di atas garis sesar utama dan sering digegarkan oleh gempa bumi. Kira-kira 18,000 terbunuh dalam gempa bumi yang sama kuat di barat laut Turkiye pada 1999.

Beribu-ribu bangunan dilaporkan runtuh di kawasan yang luas dari bandar Aleppo dan Hama di Syria ke Diyarbakir Turki, lebih 330 kilometer ke timur laut.

Pakar bencana alam Universiti Nottingham Trent, Dr Steven Godby, berkata suhu yang sangat sejuk boleh mengurangkan tempoh masa untuk menyelamatkan mangsa yang terselamat.

Katanya, kesukaran bekerja di kawasan yang dilanda perang saudara akan merumitkan lagi usaha menyelamat mangsa.

Seorang lelaki membawa mangsa gempa bumi di Besnia, sebuah kampung di wilayah Idlib, Syria.

Berpuluh-puluh negara menawarkan bantuan dalam bentuk pasukan mencari dan menyelamat hingga bekalan perubatan dan wang. Sebahagian besar adalah untuk Turkiye, tetapi tidak jelas jika ada yang akan pergi ke kawasan dikuasai penentang yang musnah di barat laut Syria.

Pasukan pertahanan awam penentang Syria menggambarkan keadaan di kawasan terkepung itu sebagai malapetaka.

Kawasan yang dikuasai penentang yang berpusat di wilayah Idlib, dikepung selama bertahun-tahun dengan serangan udara tentera kerajaan yang kerap berlaku. Wilayah ini bergantung kepada bantuan dari Turkiye yang berdekatan untuk segala-galanya dari makanan hingga bekalan perubatan.

Di sebuah hospital di Idlib, Osama Abdel Hamid, berkata kebanyakan jirannya meninggal dunia. Beliau berkata bangunan empat tingkat yang mereka berkongsi runtuh sebaik dia, isteri dan tiga anaknya berlari ke arah pintu keluar. Sebuah pintu kayu jatuh ke atas mereka dan bertindak sebagai pelindung.

“Tuhan memberi saya nafas baru dalam hidup,” katanya.

Di bandar kecil Azmarin yang dikuasai penentang Syria di pergunungan di sempadan Turki, mayat beberapa kanak-kanak yang mati, dibalut selimut, dibawa ke hospital. – AP

- Advertisement -