Bekas pemain Newcastle, Atsu diselamatkan dari runtuhan gempa bumi Turkiye

Bekas pemain Newcastle dan Chelsea, Christian Atsu.

ACCRA: Pemain sayap antarabangsa Ghana, Christian Atsu yang dilaporkan hilang dalam kejadian gempa bumi di Turkiye semalam, ditemui selepas diselamatkan dari runtuhan apatmen di Hatay.

Advertisement

Dia menjaringkan gol kemenangan minit ke-97 untuk pasukan liga utama Turkiye, Hatayspor, pada malam Ahad ketika menewaskan Kasımpasa 1-0. Namun beberapa jam kemudian dilaporkan hilang berikutan gempa 7.8 magnitud yang meruntuhkan seluruh blok apartmen di beberapa bandar Turkiye dan Syria.

Operasi mencari dan menyelamat yang dilancarkan berjaya menemui bekas pemain Chelsea dan Newcastle itu. Seorang wartawan sukan Ghana, Saddick Adams, mendakwa dapat berhubung dengan pasukan kelab Atsu yang mengesahkan pemain sayap itu selamat.

Dua rakan sepasukannya di Hatayspor serta kakitangan teknikal juga berjaya diselamatkan dari runtuhan bangunan kediaman mereka.

Sebelum ini Naib Presiden Hatayspor, Mustafa Ozat, memberitahu Stesen TV Turkiye Play Spor: “Christian Atsu dan (Pengarah Sukan Hatayspor) Taner Savut masih berada di bawah runtuhan.”

Beliau memberitahu BeIN Sports, beberapa pemain dan pegawai telah diselamatkan dan kelab itu sedang berusaha untuk membantu orang lain.

Atsu, 31, menyertai Hatayspor pada September lalu. Ketika bersama Newcastle, Atsu membantu kelab itu keluar dari liga divisyen kedua pada 2016/17. Sebelum ditemui, Newcastle menulis tweet “berdoa untuk berita positif”. Chelsea menerusi tweet turut mendoakan supaya Atsu selamat.

“Kami berdoa untuk pemain Ghana, Christian Atsu dan mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria,” tulis Persatuan Bola Sepak Ghana di Twitter. “Kami tetap berharap untuk berita positif.”

Atsu kali terakhir dipilih untuk bermain untuk Ghana pada 2019, tetapi belum secara rasmi bersara dari bola sepak antarabangsa. – REUTERS