Banjir: RM65.3 juta kos baik pulih infrastruktur rosak

- Advertisement -

KOTA BHARAU: Dianggarkan sebanyak RM107 juta kos bagi membaik pulih infrastruktur yang rosak akibat banjir Monsun Timur Laut (MTL) bagi tahun 2021/2022.

- Advertisement -

Infrastruktur yang rosak akibat bencana banjir dikenal pasti iaitu jalan, jambatan, sistem saliran dan pengairan, jeti dan cerun.

Manakala, sebanyak RM65.3 juta pula dianggarkan kos baik pulih infrastruktur yang rosak ketika MTL 2022/2023 berdasarkan data yang direkodkan.

Menteri Besar Ustaz Dato’ Betara Ahmad Yakob berkata, jumlah tersebut dijangka akan bertambah setelah selesai proses pengumpulan data.

“Kejadian bencana seperti banjir, tanah runtuh, kemarau dan seumpamanya sememangnya merupakan perkara yang kita hadapi melangkaui waktu dan tempat.

“Jadi saya berharap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sentiasa merancang pembangunan dengan teratur dan terancang seperti penyediaan dan penyelenggaraan kemudahan saliran yang sistematik.

“Kita sedia maklum apabila berlaku hujan lebat kejadian banjir kilat sering berlaku di pelbagai lokasi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perasmian Majlis Pelancaran Sistem Pengurusan Bencana (E-Bencana) Negeri Kelantan, di sini, hari ini. (Foto atas)

Turut hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Nazran Muhammad, Speaker Dun Datuk Abdullah Yakob, anggota Exco kerajaan negeri Datuk Mumtaz Md Nawi dan Ahli Parlimen Rantau Panjang Datuk Siti Zailah Yusoff.

Menteri Besar juga berkata, Sistem Pengurusan E-Bencana Negeri Kelantan akan menjadi nilai tambah bagi mewujudkan satu mekanisma pengurusan yang lebih kemas.

Katanya dengan adanya persediaan yang sistematik dan penggunaan teknologi terkini memudahkan menghadapi bencana, fasa bertindak (response) dan pemulihan (recovery). – HARAKAHDAILY 7/2/2023

- Advertisement -