Anak syarikat kerajaan bina stesen pengecas kereta

- Advertisement -

KOTA BHARU: Anak syarikat kerajaan negeri, Kelantan Utilities Mubaarakan (KUM) Holdings Sdn Bhd akan membina stesen pengecas kereta elektrik di sekitar hotel di bandar ini.

- Advertisement -

Pengurus Besar KUM, Dr Mohd Roshdi Hassan, berkata penggunaan kenderaan elektrik semakin meningkat selepas insentif diberikan kerajaan untuk menjadi negara bebas karbon.

Katanya, kekurangan kemudahan tersebut boleh menjejaskan kerancakan penggunaan kenderaan bebas karbon dan sektor pelancongan di Kelantan.

“Kita akan buat beberapa stesen pengecas. Kita juga sudah berbincang dengan Hotel Perdana dan lokasi berhampiran pejabat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

“Kita tidak mahu pelancong yang datang ke Kelantan menggunakan kenderaan elektrik tiada stesen pengecas.

“Jadi kita sasarkan hotel-hotel sebagai peringkat permulaan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan bantuan kepada sekolah terpilih untuk melaksanakan Program Komuniti Alam Hijau (PKAH) di sini.

Penyampaian bantuan itu disampaikan Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, Tuan Saripudin Tuan Ismail.

Hadir sama Timbalan Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, Abdul Azziz Kadir dan Pengurus Kanan KUM, Mahadi Mokhtar.

Dr Mohd Roshdi berkata, sehingga kini pengguna kereta elektrik yang datang ke Kelantan terpaksa menggunakan soket tiga di kediaman yang memakan masa sehingga lapan jam untuk membolehkan mendapat cas bateri penuh.

“Dengan adanya kemudahan alat pengecas, tempoh pengecasan di stesen pengecas lebih singkat sehingga empat jam,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/2/23

- Advertisement -