70 peratus rakyat Terengganu terlibat sektor pertanian

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 70 peratus daripada 1.2 Juta rakyat Terengganu terlibat dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata sektor pertanian merupakan sektor untuk rakyat Terengganu dan terdiri daripada semua golongan.

Katanya, Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang mempunyai tabung bencana pertanian dalam membantu mereka yang terjejas dalam sektor itu.

“Pelbagai halangan dan ujian yang ditempuhi bagi mereka yang berada dalam sektor ini dalam menghasilkan sumber makanan untuk negeri dan negara kita.

“Semoga kita terus tekun dalam merealisasikan cita-cita yang telah digariskan dalam Pelan Strategik Negeri Terengganu 2019-2023 untuk menjadikan Terengganu sebagai negeri pengeluar makanan sendiri,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Program Halatuju Sektor Pertanian Terengganu Untuk Masa Hadapan bertempat di Dewan Kampung Panji, di sini semalam.

Turut hadir, Pegarah Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat dan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Terengganu, Dato’ Zulkepli Amin Mat Jusoh@Yusof.

Menurut Dr Azman, Kuala Terengganu merupakan daerah ketujuh yang diadakan program Seminar Halatuju Sektor Pertanian Terengganu untuk masa hadapan.

“Kuala Terengganu merupakan daerah yang banyak mendapat peruntukan sama ada bandar mahupun kebun komuniti.

“Walaupun daerah ini mengalami isu kekurangan tanah dan tapak pertanian yang menyebabkan kita perlu berfikir satu kaedah lain untuk meneruskan gerak kerja dalam sektor pertanian ini,” katanya. – TRDI.my

- Advertisement -