‘Terima kasih cikgu, umi dan abah bantu Waiz belajar’

- Advertisement -

LAHAD DATU: Kerjasama yang baik di antara ibu bapa dan guru membantu kejayaan cemerlang pelajar.

- Advertisement -

Bagi pelajar cemerlang enam tahun PASTI Al-Hidayah, Waiz Tamrin Iman Takdir, dia belajar bersungguh-sungguh di sekolah dan membuat semua kerja yang diberikan oleh guru di rumah dengan bantuan ibu bapa.

“Terima kasih cikgu, umi dan abah banyak bantu Waiz belajar.

“Terima kasih cikgu ajar Waiz daripada umur empat tahun sampai sekarang. Waiz sayang cikgu,” ujarnya ketika ditemui Harakahdaily pada Majlis Anugerah Prestasi PASTI Al-Hidayah, di sini, semalam.

Dia juga berpesan kepada rakan-rakan supaya meneruskan belajar dan mendoakan semoga berjaya mencapai cita-cita di samping mengajak masyarakat menghantar anak belajar di PASTI.

Waiz telah mendapat anugerah mumtaz bagi semua elemen 5C iaitu celik minda, bahasa, cerdas, al-Quran dan Sahsiah mengikut Sistem Perkembangan Prestasi Murid (SPPM).

Sistem baru dalam PASTI itu bertujuan untuk membina dan menilai perkembangan murid secara lebih menyeluruh serta mengurangkan kebergantungan kepada kaedah peperiksaan.

Sementara itu, Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Lahad Datu, Nizam Latuah mengucapkan terima kasih di atas kepercayaan ibu bapa menghantar anak ke PASTI untuk mendidik mereka pada awal usia.

“Terdapat banyak tadika Islam di Lahad Datu tetapi ibu bapa telah memilih PASTI sebagai pusat asuhan anak.

“Utamakan tadika Islam sebagai sekolah anak supaya mereka diajar tentang asas Islam sebagai pendedahan awal bagi memantapkan akidah dan akhlak mereka,” ujarnya ketika merasmikan majlis itu.

Nizam turut menyarankan supaya ibu bapa meneruskan pendidikan anak ke Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Tahfiz Lahad Datu bagi memastikan kesinambungan matlamat pendidikan Islam anak tercapai.

Beliau turut menyarankan sekiranya ibu bapa menghantar anak ke sekolah kebangsaan, turut didaftarkan di Sekolah Agama Rakyat atau Sekolah Agama Negeri bagi menjamin pendidikan agama anak secara berterusan.

Dalam majlis tersebut, seramai 106 orang murid yang akan menamatkan pelajaran di PASTI pada Mac ini telah diraikan. – HARAKAHDAILY 6/2/2023

- Advertisement -