PUM zahir simpati kejadian gempa bumi di Turkiye, Syria

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Persatuan Ulama Malaysia (PUM) ingin merakamkan ucapan takziah dan menzahirkan simpati kepada mangsa dan keluarga yang terlibat di dalam kejadian gempa bumi di Turki dan turut melibatkan Syria.

- Advertisement -

Yang Dipertua PUM, Dato’ al-Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata, kejadian gempa bumi itu telah menyebabkan kematian mencecah dua ribu mangsa, dan terdapat juga mereka yang kehilangan harta benda serta tempat tinggal.

Menurutnya, gempa bumi yang berpusat di selatan Turki itu berkekuatan sehingga 7.8 skala Ritcher adalah suatu musibah yang dahsyat, di mana terdapat banyak bangunan yang runtuh, yang melibatkan rumah kediaman mahupun pejabat serta ruang perniagaan.

“Kami mendoakan mangsa yang meninggal dunia diberikan ganjaran syuhada manakala mangsa yang tercedera agar segera mendapat kesembuhan hendaknya,” ujarnya dalam kenyataan, malam ini.

Beliau juga menyeru supaya diperbanyakkan bersabar di atas musibah yang berlaku kerana sesungguhnya Allah SWT bersama mereka yang sabar.

Tambahnya, umat Islam juga diseru agar dapat menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan terutama kepada mangsa dan keluarga mereka. – HARAKAHDAILY 6/2/2023

- Advertisement -