Ketepi perbezaan politik untuk kesejahteraan rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perbezaan politik haruslah diketepikan kerana rakyat adalah keutamaan, kata Ahli Parlimen Jerantut, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin.

- Advertisement -

Beliau menyatakan demikian susulan risau dengan hujan yang berpanjangan ditambah pula kejadian jalan mendap di laluan Jerantut-Benta belum ada penyelesaian segera.

Menurutnya, beliau telah pergi sendiri melihat keadaan jalan yang rosak akibat mendapan dan berlubang di kawasan Kampung Jaya Putra, Damak, Jumaat lalu.

Menerusi hantaran di Facebooknya, beliau berkata kawasan yang terlibat adalah di KM38 Jerantut-Benta.

Tambahnya, jalan itu adalah laluan utama yang digunakan penduduk setempat untuk ke bandar Jerantut.

Katanya lagi, keadaan jalan yang rosak teruk itu menyukarkan penduduk setempat khususnya penduduk Kampung Batu Balai yang ingin ke pusat bandar Jerantut.

“Pihak kami memang mahu berjumpa dengan pihak Jurutera Daerah (JD) daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Jerantut untuk mengetahui lebih lanjut keadaan jalan ini dan tindakan susulan mereka.

“Tetapi malangnya pada hari Jumaat lepas, JD JKR tidak dapat meluangkan masa berjumpa dengan pihak kami kerana sedang menghadiri Mesyuarat Tindakan Daerah,” ujarnya.

Khairil berkata, sekadar makluman untuk semua, Mesyuarat Tindakan Daerah itu tidak melibatkan beliau selaku Ahli Parlimen dan juga semua ADUN Perikatan Nasional di dalam kawasan Parlimen Jerantut.

Sehubungan itu, beliau dalam proses untuk bertemu dengan pihak JKR Jerantut dengan segera bagi mendapatkan penjelasan lanjut serta tindakan yang akan diambil untuk memudahkan penduduk setempat ke bandar Jerantut.

“Untuk kesejahteraan rakyat, perbezaan politik haruslah kita diketepikan kerana rakyat adalah keutamaan,” tambahnya yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat. – HARAKAHDAILY 6/2/2023

- Advertisement -