
TEL AVIV: Kerajaan Israel meluluskan pembinaan penempatan haram Yahudi baharu berhampiran sempadan Semenanjung Gaza.
“Kami memutuskan penubuhan komuniti Hanon pada pentadbiran kerajaan sebelum ini. Hari ini, kami melengkapkan penubuhan itu dengan menyediakan bajet perancangan penempatan itu,” kata Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dalam satu kenyataan selepas mesyuarat Kabinet, semalam.
Menteri Pembinaan dan Perumahan, Yitzhak Goldknopf, berkata penempatan baharu itu akan menempatkan hampir 500 keluarga.
Katanya, kementeriannya akan memulakan prosedur perancangan penempatan itu.
Mengikut statistik Israel pada 2019, terdapat lebih 50 penempatan haram Yahudi di sekitar Gaza dengan sekurang-kurangnya 55,000 peneroka haram Yahudi tinggal di sana.
Israel dan Palestin menganggarkan terdapat kira-kira 650,000 peneroka haram Yahudi tinggal di 164 penempatan di Tebing Barat.
Mengikut undang-undang antarabangsa, semua penempatan Yahudi di wilayah Palestin yang diduduki dianggap haram. – TRT WORLD