Gabungan selaras bantuan gempa di Turkiye, Syria

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Seluruh dunia dihebohkan dengan kejadian gempa bumi berukuran 7.8 magnitud telah melanda selatan Turkiye dan utara Syria, hari ini.

- Advertisement -

Kejadian menyedihkan itu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 641 nyawa dan merobohkan ribuan bangunan.

Pengarah PASRelief, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah berkata, difahamkan ribuan lagi mangsa dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan.

Sehubungan itu, ujarnya PASRelief merakamkan ucapan takziah kepada semua mangsa yang terlibat dalam kejadian yang mendukacitakan itu.

“Sebagai menyatakan solidariti bersama mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria, PASRelief telah menggerakkan dan membentuk satu gabungan NGO untuk menyelaras bantuan bencana gempa bumi dengan kadar segera,” ujarnya dalam kenyataan, malam ini.

Menurutnya, satu mesyuarat penyelarasan bantuan akan diadakan pada 10 Februari (Jumaat), jam 3:30 petang di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

“Dengan penuh hormat, dijemput semua NGO dan pihak yang bersimpati dengan musibah yang melanda saudara kita di Turkiye dan Syria untuk bersama-sama menyertai gabungan ini,” ujarnya.

Tambahnya, untuk itu boleh menghubungi Setiausaha PASRelief Norhafiza Fadzil di talian 018-3854483 untuk maklumat lanjut.

Dalam pada itu, ujar beliau sumbangan awal kewangan boleh disalurkan kepada PASRelief melalui akaun Maybank 5640 7061 2333

Untuk makluman, katanya PASRelief juga telah mempunyai pejabat dan sekretariat tetap sebagai pusat koordinasi bantuan antarabangsa bertempat di Bascule Plaza, Istanbul. – HARAKAHDAILY 6/2/2023

- Advertisement -