Apabila antibiotik tidak lagi berkesan

- Advertisement -

RAWATAN antibiotik diberikan kepada pesakit yang mengalami jangkitan bakteria yang berbahaya atau bagi menghalang jangkitan dari berlaku. Antibiotik bertindak dengan cara membunuh bakteria atau menindas pertumbuhannya. 

Antibiotik tidak berkesan terhadap jangkitan virus contohnya rhinovirus yang menyebabkan selesema, sebagaimana ia tidak berkesan untuk mengawal jangkitan kulat. 

Antibiotik digunakan secara meluas di seluruh dunia. Bagaimanapun, penggunaan antibiotik secara berlebihan dan tidak terkawal sangat berbahaya.

Sebagaimana virus, bakteria juga mampu bermutasi. Mendedahkan bakteria kepada antibiotik secara berulang-ulang atau menggunakan dos yang tidak optimum boleh menjadikan bakteria membina kerintangan terhadap antibiotik. Apabila ini berlaku, jenis antibiotik yang sama tidak lagi berkesan bagi membunuh atau menghalang pertumbuhan bakteria tersebut. 

Menurut CDC (Centers for Disease Control and Prevention) kewujudan bakteria rintang antibiotik menjadi ancaman kesihatan awam global yang mendesak. Pada tahun 2019, hampir 5 juta kematian di seluruh dunia disebabkan oleh jangkitan mikrob yang rintang kepada rawatan sedia ada. 

Kewujudan bakteria ini menyebabkan pesakit perlu dirawat dengan antibiotik berbeza yang berkemungkinan mempunyai kesan sampingan yang lebih buruk. Tempoh rawatan kebiasaannya lebih panjang dan pesakit terdedah kepada komplikasi jangkitan selain mampu menyebarkan bakteria jenis ini kepada orang di sekeliling. Lebih buruk, ada kalanya rawatan menggunapakai kombinasi pelbagai jenis antibiotik juga tidak dapat merencatkan pertumbuhan bakteria yang rintang ini. 

Kewujudan bakteria rintang antibiotik juga akan menyulitkan pelbagai prosedur perubatan contohnya pemindahan organ (organ transplants), penggantian sendi (joint replacements), terapi kanser, rawatan kepada pesakit asma, arthritis dan kencing manis yang mengalami jangkitan. Tanpa antibiotik yang berkesan, pesakit yang melalui prosedur ini terdedah kepada komplikasi rawatan yang mampu mengancam nyawa. 

Bagi menghalang pertumbuhan bakteria rintang antibiotik, amat penting bagi kita memainkan peranan dengan cara;

1. Mengamalkan kebersihan dan gaya hidup yang sihat bagi mengelak jangkitan.

2. Mengambil antibiotik mengikut saranan ahli perubatan bertauliah apabila memerlukan sahaja.

3. Pastikan antibiotik diambil pada dos dan tempoh yang ditetapkan.

4. Tidak menggunakan antibiotik yang dipreskripsikan  kepada orang lain.

5. Tidak menggunakan lebihan antibiotik untuk rawatan di masa akan datang.

Bersama kita pelihara nikmat kesihatan yang dipinjamkan Allah kepada kita. 

DR. HANI’AH ABDULLAH 
Alderley Park – HARAKAHDAILY 6/2/2023

Rujukan
Centers for Disease Control and Prevention

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -