SRITI pupuk nilai-nilai murni secara menyeluruh

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) telah ditubuhkan sejak 2016, kata Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad.

- Advertisement -

Beliau berkata, cetusan idea itu adalah begitu penting untuk kesinambungan murid-murid PASTI meneruskan pendidikan.

Menurutnya, jika disoroti sejarah penubuhan SRITI, ia tidak lain dan bukan demi jihad pendidikan berteraskan Islam yang memupuk nilai-nilai murni secara menyeluruh.

Tambahnya, ia juga berorientasikan sosial dan tidak mencari keuntungan kerana yuran bulanan yang dikenakan adalah rendah dan sangat berpatutan.

Hari ini, beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai itu hadir merasmikan Majlis Kecemerlangan dan Graduasi SRITI Bestari di Dewan Al-Akhlak.

“Saya berasa sangat bangga dengan pencapaian yang ditempa oleh murid-murid SRITI Bestari dalam akademik dan juga kokurikulum,” ujarnya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Malah, katanya baru-baru ini SRITI Bestari juga telah berjaya memperoleh Naib Johan dalam pertandingan Kalam Jamaie Majlis Amal Islami SRITI (MAIS) Kebangsaan dan Johan Kalam Jamaie MAIS Negeri Perak.

Katanya, SRITI Bestari turut memperoleh tempat ketiga dalam pertandingan nasyid MAIS Negeri Perak, baru-baru ini.

Beliau mengucapkan jutaan tahniah kepada para guru, murid-murid, ibu bapa dan seluruh pihak pengurusan atas kejayaan yang berjaya diperoleh, hari ini.

“Tahniah juga saya titipkan buat semua murid tahun enam yang sudah bergraduasi hari ini.

“Semoga anak-anak semua akan terus melakar kejayaan dan kegemilangan dalam setiap bidang yang diceburi. Insya-Allah,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 5/2/2023

- Advertisement -