Jerung bunuh remaja di sungai pantai barat Australia

Polis Australia memeriksa Sungai Swan, tempat kejadian serangan jerung berlaku.
- Advertisement -

SYDNEY: Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun maut selepas diserang jerung di sungai di ibu negara Australia Barat, Perth, selepas dia terjun ke dalam air untuk berenang bersama sekumpulan ikan lumba-lumba.

- Advertisement -

Polis berkata, mereka dipanggil ke tempat kejadian kira-kira 3:45 petang Sabtu berhampiran jambatan di Sungai Swan, di kawasan pelabuhan Fremantle, Perth.

Menurut kenyataan polis, mangsa ditarik dari air dengan kecederaan kritikal dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Polis percaya mangsa berada di tempat kejadian bersama rakan-rakan dan terjun dari jet ski untuk berenang bersama sekumpulan ikan lumba-lumba di sungai ketika serangan jerung itu berlaku.

Australian Broadcasting Corp melaporkan bahawa pihak berkuasa tidak pasti jenis jerung yang menyerang mangsa. Berikutan itu, orang ramai digesa supaya lebih berhati-hati di Sungai Swan sekitar Fremantle.

Serangan maut membabitkan jerung kali terakhir di perairan Australia Barat berlaku pada November 2021 apabila seorang lelaki berusia 57 tahun dibunuh oleh jerung putih besar di perairan dekat pantai Pelabuhan Perth.

Seorang lelaki lain pula cedera parah diserang jerung lembu ketika berenang di Sungai Swan pada Januari 2021.

Lebih 100 spesies jerung hidup di perairan Australia Barat – negeri terbesar di negara itu, dengan jerung lembu sering ditemui jauh di hulu sungai.

Risiko serangan jerung di negeri ini adalah rendah, menurut kerajaan negeri yang menubuhkan unit tindak balas jerung khusus untuk menangani insiden serangan jerung.

Di pantai timur, beberapa pantai Sydney, termasuk Bondi dan Bronte ditutup Februari tahun lalu selepas seorang perenang terbunuh dalam serangan jerung, kematian pertama seumpama itu di pantai bandar itu dalam tempoh hampir 60 tahun.

Menurut Universiti Florida, Australia berada di tempat kedua selepas Amerika Syarikat dalam kejadian serangan jerung tanpa sebarang provokasi manusia pada 2021. – REUTERS

- Advertisement -