ECRL: Pastikan penduduk terlibat tidak teraniaya

- Advertisement -

SAYA selaku Ahli Parlimen Kapar telah menerima aduan daripada Jawatankuasa Bertindak Taman Sungai Sireh, Pelabuhan Klang pada 18 Januari 2023.

- Advertisement -

Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Selangor dan syarikat pemaju Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) iaitu Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dikatakan menunjukkan sikap ketidakpedulian dalam isu membabitkan cadangan pembinaan laluan rel projek ECRL yang jajarannya melalui Taman Sungai Sireh.

Projek ECRL ini telah bermula sejak tahun 2017 lagi. Namun penduduk Taman Sungai Sireh tidak pernah dimaklumkan oleh mana-mana pihak berkepentingan bahawa jajaran rel ECRL akan mengenai taman perumahan mereka.

Berita berkenaan hanya diketahui penduduk pada sekitar bulan ogos tahun 2022 melalui media sosial, portal rasmi Kementerian Pengangkutan Malaysia dan berita-berita yang disiarkan oleh media masa.

Maklumat terperinci berkaitan projek ECRL yang jajarannya melalui taman ini dan jumlah rumah kediaman yang terkesan hanya diperolehi selepas Jawatankuasa Bertindak Taman Sungai Sireh diwujudkan selepas itu dan setelah usaha pertemuan dibuat sendiri oleh Jawatankuasa Bertindak dengan pihak MRL.

Semua surat bantahan rasmi yang dihantar oleh Jawatankuasa Penduduk kepada semua pihak berkepentingan ini tiada sebarang maklum balas. Sedangkan projek pembinaan itu terus berlangsung dan akan disiapkan mengikut jadual dalam beberapa tahun sahaja lagi.

Dalam pada itu kontraktor projek sudah mula membuat kerja-kerja mengukur tanah dan membuat penandaan di kawasan taman.

Pihak penduduk memaklumkan kepada saya bahawa dikatakan pihak MRL dan kerajaan negeri akan mengambil rumah kediaman mereka yang terlibat dengan jajaran ECRL melalui Akta Pengambilan Tanah yang akan diwartakan.

Sedangkan penduduk sehingga hari ini tidak pernah diberi maklum secara rasmi oleh mana-mana pihak berkepentingan berkaitan perkara ini.

Hatta diberitakan bahawa Pewartaan Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah telah dikeluarkan pun, penduduk masih tidak diberitahu secara rasmi.

Saya juga dimaklumkan bahawa seluruh penduduk Taman Sungai Sireh membantah sekeras-kerasnya pembinaan jajaran ECRL melalui taman ini.

Penduduk berasa ianya pasti akan memberi berbagai permasalahan kepada kehidupan mereka dan kesan yang berpanjangan kepada komuniti taman keseluruhannya.

Penduduk taman menuntut agar jajaran ini dipindahkan ke tempat yang lebih munasabah dan hak-hak mereka sebagai penghuni taman tidak dicabuli sewenangnya.

Saya selaku Ahli Parlimen Kapar menggesa pihak Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Selangor dan pemaju projek agar menghalusi semula isu ini supaya dapat diselesaikan secara berhemah dan memastikan penduduk yang terlibat tidak teraniaya, serta kehidupan komuniti taman tetap terpelihara dalam usaha Kerajaan menguruskan pembangunan dan kemajuan negara.

YB DR HALIMAH ALI
Ahli Parlimen Kapar – HARAKAHDAILY 5/2/2023

- Advertisement -