Slogan ‘tiada politik dalam sukan’ perlu diperluas

Wan Sukairi Wan Abdullah
- Advertisement -

HULU TERENGGANU: Kerajaan Terengganu berharap agar slogan ‘tiada politik dalam sukan’ diperluas serta diselaraskan kepada semua terutamanya membabitkan Kementerian Pendidikan supaya polisi itu terpakai di premis-premis kerajaan persekutuan termasuk sekolah.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ia bagi mengelakkan insiden program yang dijadualkan dirasmikan olehnya telah dibatalkan hanya kerana terdapat perbezaan politik antara kerajaan negeri dan persekutuan.

Namun katanya, beliau telah diberi penjelasan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bahawa itu merupakan polisi lama yang ada dalam kementerian terbabit.

“Saya tidak menyalahkan Menteri Belia dan Sukan, mahupun kementerian berkenaan atas kegagalan program di Padang Midin bagi merasmikan Akademi Hoki Terengganu, jadi saya telah memaklumkan perkara ini kepada menteri agar dapat berbincang dalam kabinet supaya hasrat ‘tiada politik dalam sukan’ dikongsi bersama kementerian-kementerian yang lain.

“Kita telah sedia maklum bahawa Kementerian Pendidikan dan juga sekolah ini merupakan pemegang taruh yang paling utama untuk mencungkil bakat-bakat baru, kalau kita tidak boleh masuk ke sekolah kerana birokrasi yang diamalkan itu akan timbul masalah untuk membangunkan sukan, bukan sahaja untuk kepentingan negeri, tetapi untuk manfaat negara.

“Sebagaimana dua hari lepas di acara penganugerahan sukan negara, menyaksikan Dato’ Muhamad Azizulhasni Awang telah merangkul anugerah olahragawan jadi sebagaimana kita tahu banyak atlet berjasa dan berbakat dari Terengganu ini telah mengharumkan nama negara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian, ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di Program Lepak Santai Cergas  (LEGASI) Belia Darul Iman 3.0, di Taman Rekreasi Kuala Berang, di sini.

Ujarnya lagi, ketika menghadiri mesyuarat pelarasan antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Exco sukan di setiap negeri, Menteri KBS telah menegaskan komitmen kerajaan adalah untuk menguruskan sukan di negara ini secara profesional serta tidak melibatkan politik kepartian.

“Jadi kita harap komitmen untuk membangunkan sukan dalam negara dapat didukung bersama di antara Persekutuan dan kerajaan negeri untuk berkoborasi demi kebaikan bersama untuk terus melahirkan atlet yang bertaraf dunia,” ujarnya lagi. – TRDI.my

- Advertisement -