Apa yang tersirat di sebalik serangan drone di Isfahan, Iran

- Advertisement -

BARU-BARU ini dunia dikejutkan dengan serangan drone ke atas fasiliti ketenteraan Iran di Isfahan. Iran mengecam serangan tersebut dan menyatakan ia bertentangan dengan undang-undang antarabangsa sambil menegaskan ia berhak untuk mempertahankan kedaulatannya dan akan bertindak balas terhadap sebarang ancaman atau salah laku regim zionis Israel pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja yang difikirkan perlu.

- Advertisement -

Serangan drone tersebut telah mencetuskan kebimbangan akan berlakunya ketegangan yang memuncak di Asia Barat jika Iran bertindakbalas terutamanya terhadap negara haram Israel.

Terdapat beberapa penganalisa geopolitik antarabangsa berpendapat jika Iran bertindakbalas, ketegangan tersebut mampu mencetuskan gelombang konflik hingga ke Syria, Iraq, Yaman, Lubnan dan seterusnya kemungkinan mampu mencetuskan gelombang intifada baharu di Palestin.

Namun sebenarnya serangan drone tersebut mempunyai skop yang sangat luas dari segi konflik dan “peperangan geopolitik“ yang sedang berlangsung di dunia ketika ini. Ia bukan hanya tertumpu kepada ketegangan antara Iran dan negara haram Israel sahaja bahkan juga mencakupi konflik antara Rusia – Ukraine, pemulihan hubungan antara Iran – Arab Saudi, hubungan antara negara haram Israel – Rusia dan yang paling utama adalah pertembungan antara Barat dan seterunya.

Sebagaimana yang diketahui umum, konflik antara Iran – negara haram Israel telah berlegar di Asia Barat lebih dari dua dekad. Bagi negara haram Israel, Iran adalah penghalang utama kepada mereka untuk meluaskan cengkaman dan kuasa seterusnya mewujudkan “The Greater Israel“.

Sebagai satu contoh, kewujudan Hizbullah di Lubnan yang mempunyai hubungan rapat dengan Iran “merencatkan“ agenda negara haram Israel untuk menguasai Lubnan.

Bagi Iran pula, negara haram Israel adalah “alat“ utama Amerika Syarikat dan sekutunya untuk melumpuh dan menjatuhkan Republik Islam Iran yang diasaskan oleh Ayatollah Khomenei setelah menumbangkan Mohammad Reza Pahlavi, Shah Iran terakhir pada 1979.

Bagi Amerika Syarikat dan sekutunya, Iran mengganggu dan menjadi penyebab ketidakstabilan Asia Barat yang mampu menggugat cengkaman kekuasaan geopolitik dan hegemoni mereka di Asia Barat.

Selain daripada itu, hubungan rapat antara Iran dan Rusia turut memainkan peranan utama dan menjadi penyebab kepada Amerika Syarikat dan sekutunya untuk melumpuh dan menjatuhkan Iran kerana bagi mereka, Iran adalah “launchpad“ kepada Rusia untuk meluaskan dan memperkukuhkan pengaruh dan kekuasaannya di Asia Barat sebagaimana Syria yang merupakan sekutu utama Iran di mana Rusia telah bertapak dan merencatkan agenda Amerika Syarikat dan sekutunya untuk menumbangkan Basyar Al Assad.

Konflik Rusia – Ukraine

Amerika Syarikat dan sekutunya mendakwa bahawa Iran telah membekalkan drone “kamikaze“ Shahed 136 atau Geranium 2 kepada Rusia untuk melancarkan serangan ke atas Ukraine yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh Iran.

Ia juga telah menyebabkan ketegangan hubungan diplomatik antara Iran dan Ukraine yang mana Ukraine telah melucutkan akreditasi Duta Iran ke Ukraine di samping mengurangkan bilangan diplomat Iran ke Ukraine.

Dakwaan tersebut juga telah menyebabkan Amerika Syarikat dan sekutunya mengenakan sekatan baharu ke atas Iran terutamanya industri aero angkasa.

Apabila berlakunya serangan drone di Isfahan yang dipercayai fasiliti pembuatan drone, Ukraine memberi respon yang seolah-olah menyambut baik serangan tersebut.

Akibat daripada respon tersebut, Iran telah memanggil Duta Ukraine di Tehran untuk memberikan penjelasan terhadap respon tersebut di samping wujud dakwaan bahawa Ukraine turut memainkan peranan dalam serangan tersebut berasaskan hubungan baik antara Ukraine – negara haram Israel di samping takrifan “musuh bersama“ oleh Amerika Syarikat dan sekutunya termasuk negara haram Israel.

Hubungan Rusia – Negara Haram Israel

Rusia sebelum ini mempunyai hubungan baik dengan negara haram Israel walaupun dalam masa yang sama adalah sekutu utama Iran dan Syria yang menjadi musuh utama negara haram Israel di Asia Barat.

Sebagaimana yang diketahui umum, negara haram Israel sering kali melancarkan serangan udara di Syria termasuk operasi “black ops“ di Iran. Meskipun begitu, negara haram Israel masih mampu mengekalkan hubungan baik tersebut walaupun adakalanya agak genting.

Namun, apabila Rusia melancarkan operasi ketenteraan khas di Ukraine, hubungan tersebut mula goyah. Di belakang tabir, negara haram Israel menyokong Ukraine walaupun tidak membekalkan senjata.

Negara haram Israel juga secara terang mengkritik Rusia dengan melabelnya telah melakukan jenayah perang di Ukraine yang telah menimbulkan kemarahan Rusia.

Di samping itu juga, negara haram Israel turut menerima tekanan hebat daripada Amerika Syarikat dan NATO untuk membekalkan senjata kepada Ukraine terutamanya sistem pertahanan udara Iron Dome.

Negara haram Israel dipercayai akan tunduk kepada desakan tersebut dan seterusnya ia bakal menghancurkan hubungan antara Rusia dan negara haram Israel yang menjadi agenda utama Amerika Syarikat dan NATO.

Beberapa hari lalu, Perdana Menteri negara haram Israel Benjamin Netanyahu dalam wawancara dengan CNN menyatakan bahawa negara haram Israel sedang berkira-kira untuk menghantar bantuan ketenteraan kepada Ukraine termasuk sistem pertahanan udara Iron Dome yang dijangka penganalisa geopolitik antarabangsa bakal mengubah senario hubungan Rusia – negara haram Israel termasuk keadaan geopolitik di Asia Barat.

Hubungan Arab Saudi – Iran

Arab Saudi dan Iran ketika ini sedang dalam proses untuk memulihkan hubungan diplomatik setelah lebih dua dekad berseteru antara satu sama lain. Jika proses pemulihan hubungan diplomatik ini berjaya direalisasikan, ia akan menjadi “satu mimpi yang amat ngeri“ bagi Amerika Syarikat dan sekutunya termasuk buat negara haram Israel kerana ia mampu mencetuskan gelombang perubahan besar di Asia Barat yang dijangka akan melenyapkan pengaruh Barat secara muktamad.

Dipercayai juga Rusia turut memainkan peranan penting dalam usaha memulihkan hubungan diplomatik tersebut yang memperlihatkan keakraban hubungan antara Rusia dan Arab Saudi.

Arab Saudi yang selama ini dilhat sebagai sekutu kuat Amerika Syarikat dan menjadi pendokong kuat hegemoni Amerika Syarikat di Asia Barat ketika ini dilihat sudah mula bergerak secara beransur-ansur akrab dengan Rusia dan terbaharu dengan China.

Jika Arab Saudi berjaya memulihkan hubungan dengan Iran, ia secara automatik akan mengeratkan lagi keakraban Arab Saudi dengan Rusia dan China yang seterusnya akan menyebabkan “domino effect“ kepada negara-negara Asia Barat lain yang kemungkinan besar akan berpaling dari Amerika Syarikat dan sekutunya di mana kemudiannya Iran bersama Arab Saudi bakal muncul sebagai antara kuasa besar di Asia Barat yang mampu menggerunkan Amerika Syarikat dan sekutunya terutamanya negara haram Israel.

Oleh itu menurut beberapa penganalisa geopolitik antarabangsa, telah wujud usaha untuk menghalang usaha dan proses pemulihan hubungan antara Arab Saudi dan Iran dan dalam masa yang sama akan mampu menghalang kecenderungan Arab Saudi untuk menjadi lebih akrab dengan Rusia dan China kerana jika gagal untuk menghalang usaha tersebut dijangka ia akan mampu mengakhiri dominasi Barat ke atas Arab Saudi.

Pertembungan antara Timur dan Barat

Serangan drone ke atas fasiliti ketenteraan Iran di Isfahan mahupun konflik di Ukraine sebenarnya adalah lanjutan daripada pertembungan antara Timur dan Barat terutamanya antara China dan Rusia dengan Amerika Syarikat dan sekutunya dari Barat di mana ketika ini pengaruh kekuasaan dan hegemoni Barat yang diterajui Amerika Syarikat dan sekutunya telah berada di penghujung jalan dan berasa terancam dengan kebangkitan China dan Rusia.

Kebangkitan yang berpunca dari sistem unipolar yang diterajui Barat untuk mengawal dunia mengikut kemahuannya turut mengakibatkan blok Timur telah mula mewujudkan sistem multipolar yang menolak dominasi Barat. BRICS yang dipelopori China, Rusia, India, Brazil dan Afrika Selatan dijangka akan menerima kemasukan Arab Saudi, Turkiye, UAE, Iran, Argentina, Thailand, Indonesia dan beberapa negara lagi menjelang sidang kemuncaknya pada Ogos hadapan di Afrika Selatan.

BRICS dijangka menjadi seteru utama kumpulan negara-negara G7 yang sekian lama secara unipolar mendominasi ekonomi dunia. SCO atau Shanghai Cooperation Organisation yang diterajui China dan CSTO atau Collective Security Treaty Organisation yang diterajui Rusia dijangka akan menjadi pencabar utama kepada NATO tidak lama lagi yang sekian lama mendominasi Eurasia.

Dengan pelbagai lagi agenda yang bakal diterajui China dan Rusia, pertembungan Timur dan Barat ini akan merubah senario geopolitik dunia yang unipolar kepada dunia multipolar, dunia yang tidak lagi bergantung kepada Barat terutamanya kepada Amerika Syarikat dan sekutunya. Dengan Afrika yang ketika ini sudah mula “bergerak“ ke arah China dan Rusia, “pecutan“ untuk meninggalkan dunia unipolar yang diterajui Barat kini kelihatan sudah hampir sampai ke garis penamatnya.

“Malaysia Sejahtera”

YB DR MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk. – HARAKAHDAILY 4/2/2023

- Advertisement -