Polis Norway halang protes bakar al-Quran

Norway juga mempunyai kumpulan anti-Islam.
- Advertisement -

OSLO: Polis Norway melarang rancangan protes kumpulan anti-Islam, termasuk membakar naskhah al-Quran minggu ini atas sebab keselamatan, beberapa jam selepas Kementerian Luar Turkiye memanggil Duta Norway untuk membantah perbuatan biadap itu.

- Advertisement -

Sekumpulan penunjuk perasaan merancang untuk membakar senaskhah al-Quran di luar kedutaan Turkiye di Oslo hari ini, mengulangi tunjuk perasaan yang sama bulan lalu di Sweden dan Denmark.

“Membakar al-Quran masih sah dari segi undang-undang sebagai cara untuk menyatakan pandangan politik di Norway. Namun protes kali ini tidak boleh dijalankan atas faktor keselamatan,” kata polis Oslo dalam satu kenyataan.

Semalam, Ankara mengutuk sekeras-kerasnya rancangan kumpulan anti-Islam itu yang disifatkan sebagai tindakan provokatif, kata sumber Kementerian Luar Turkiye, sambil menambah bahawa kementerian itu telah meminta demonstrasi itu dibatalkan.

Kementerian Luar Norway memberitahu bahawa Turkiye telah membangkitkan demonstrasi yang dirancang itu dalam satu mesyuarat.

“Duta besar kami merujuk kepada hak perlembagaan untuk kebebasan bersuara di Norway dan menambah bahawa kerajaan Norway tidak menyokong atau terlibat dengan demonstrasi yang dirancang,” kata seorang jurucakap kementerian itu.

Polis hanya boleh mengharamkan demonstrasi jika menimbulkan bahaya kepada orang ramai.

Bantahan termasuk membakar senaskah al-Quran bulan lalu berhampiran kedutaan Turkiye di Stockholm oleh ahli politik Denmark-Sweden yang anti-pendatang mendapat kecaman hebat Ankara.

Sweden dan Finland memohon tahun lalu untuk menyertai NATO selepas Rusia menyerang Ukraine, tetapi menghadapi bantahan yang tidak dijangka dari Turkiye dan sejak itu berusaha untuk memenangi sokongannya.

Sweden menyatakan semalam akan mengetatkan undang-undang yang meliputi keanggotaan organisasi pengganas. – REUTERS

- Advertisement -