AKHIRNYA pada 31 Januari lepas jendela perpindahan musim sejuk (winter transfer window) untuk Liga Perdana Inggeris (EPL) telah ditutup. Jendela yang dibuka pada 1 Januari merupakan peluang terakhir bagi kelab-kelab untuk mendapatkan pemain-pemain baharu atau melepaskan pemain-pemain mereka. Selepas ini, sehingga akhir musim pada bulan Mei tiada perpindahan yang dibenarkan.
Setelah beraksi lebih 4 bulan, sudah tentu terdapat kelab-kelab yang merasakan terdapat keperluan untuk mengukuhkan skuad mereka. Ada yang sedang bertarung untuk mengelakkan dari tersingkir ke Championship justeru perlu mendapatkan pemain-pemain baharu yang dapat melonjakkan prestasi mereka. Southampton, Everton, Bournemouth, Wolves dan West Ham adalah di dalam kategori tersebut.
Ada pula yang mempamerkan aksi-aksi hambar dan berada pada kedudukan liga yang mengecewakan bagi penyokong-penyokong mereka. Pencabar kejuaraan tradisi, Liverpool di tempat ke-9 dan Chelsea di tempat ke-10 adalah di dalam kategori tersebut. Ada pula kelab yang dilanda masalah kecederaan dan memerlukan pemain-pemain baharu.
Terdapat banyak spekulasi dan khabar angin pada setiap jendela perpindahan. Begitu juga kali ini. Ramai nama-nama besar yang dikaitkan dengan kelab-kelab ternama. Ada yang menjadi kenyataan dan ada yang hanya tinggal spekulasi. Berikut adalah di antara senarai perpindahan kelab-kelab utama pada jendela perpindahan kali ini.
Pendahulu liga Arsenal telah membawa masuk 3 pemain untuk meningkat ‘squad depth‘. Mereka adalah Leandro Trossard dari Brighton (27 juta GBP), Jakub Kiwior dari Spezia, Itali (20 juta GBP) and Jorginho dari Chelsea (12 juta GBP).
Ketiga-tiga pemain ini tidak dijangka akan memulakan mana-mana perlawanan (Starting XI). Walau bagaimanapun ia memberi pilihan kepada Pengurus Mikel Arteta untuk membuat pertukaran apabila ada keperluan. Ini penting pada peringkat akhir musim.
Mungkin terdapat penyokong-penyokong yang mengharapkan Moises Caicedo menyertai Arsenal tetapi Brighton tidak mahu melepaskan beliau walaupun pemain itu mahu meninggalkan Amex.
Chelsea pula telah memecahkan rekod Britain apabila membayar Benfica 107 juta GBP untuk Enzo Fernandez. Dengan ketibaan Mykhailo Mudryk, Joao Felix, Benoit Badiashile dan pemain-pemain baharu yang lain, Chelsea telah membelanjakan 323 juta GBP pada jendela kali ini.
Malah mereka telah membelanjakan hampir 600 juta GBP untuk musim ini. Kelab London itu telah menjumpai formula bagaimana untuk tidak melanggar peraturan Financial Fair Play (FFP) walaupun berbelanja besar. Di antaranya adalah dengan memanjang kontrak pemain.
Penyokong-penyokong Liverpool sudah tentu gembira apabila mereka berjaya mendapatkan Cody Gakpo dari PSV Eindhoven dengan mengenepikan Manchester United. Walau bagaimanapun pemain itu sahaja yang tiba Januari ini kecuali 6 pemain yang dipinjamkan ke kelab-kelab lain dan dipanggil semula.
Jude Bellingham (Borussia Dortmund) merupakan sasaran utama Liverpool tetapi jika kelab itu gagal layak ke Liga Juara-juara Eropah UEFA (UCL) tidak mungkin beliau akan mahu ke Anfield musim panas ini.
Kemungkinan kelab itu akan tercicir dari kelayakan UCL memandangkan masalah yang dihadapi di bahagian tengah (midfield). Fabinho, Jordan Henderson dan Thiago Alcantara gagal menyinar. Virgil van Dijk dan Ibrahima Konate juga dibebani dengan masalah kecederaan.
Pemain Austria, Marcel Sabitzer, adalah di antara tiga pemain yang tiba di Old Trafford kali ini. Pemain itu dipinjam dari Bayern Munich untuk menggantikan Christian Eriksen yang terpaksa direhatkan untuk 3 bulan akibat kecederaan. Pemilik United, keluarga Glazers, diberitakan mahu menjual kelab itu justeru tiada peruntukan bagi Pengurus Erik ten Hag untuk mendapatkan pemain-pemain baharu.
Secara keseluruhannya, Arsenal dan Chelsea kelihatan bersungguh-sungguh pada jendela perpindahan kali ini. Arsenal mahu muncul juara setelah lebih 20 tahun gagal. Kali ini impian mereka adalah realistik. Chelsea hari ini di tempat ke-10 sedang mengejar kelayakan ke UCL. Kelayakan tersebut menjanjikan pulangan kewangan yang begitu tinggi.
Tetapi Liverpool yang hanya berjaya mendapatkan Cody Gakpo kelihatan tidak bermaya. Seolah-olah mereka telah berputus asa dan tidak peduli jika mereka gagal ke UCL musim hadapan. Kegagalan pemilik kelab, Fenway Sports Group (FSG) mendapatkan suntikan dari pelabur menyulitkan Pengurus Jurgen Klopp untuk mendapatkan pemain-pemain yang beliau mahukan.
DATO’ ISKANDAR A SAMAD
3 Februari 2023 – HARAKAHDAILY 3/2/2023
Perpindahan pemain: Chelsea dan Arsenal mendahului
- Advertisement -