Messi ragu mampu beraksi di Piala Dunia 2026

Lionel Messi akan berusia 39 tahun dalam Piala Dunia akan datang.
- Advertisement -

Lionel Messi ragu-ragu sama ada masih mampu bermain untuk Argentina pada Piala Dunia 2026 ketika dia berumur 39 tahun, tetapi cukup pasti mengenai satu perkara: Lionel Scaloni kekal sebagai ketua jurulatih.

- Advertisement -

Messi pada usia 35 tahun mengetuai Argentina merangkul kejuaraan di Qatar, Disember lalu dan tidak pasti sama ada Piala Dunia akan datang, iaitu kali kelima adalah yang terakhir. Edisi seterusnya akan berlangsung di Mexico, Kanada dan Amerika Syarikat.

Messi memberitahu akhbar Olé dalam satu temu bual yang diterbitkan semalam bahawa dia selalu berkata, usianya akan menyukarkan bermain lagi di Piala Dunia.

“Saya suka bermain bola sepak dan suka apa yang saya lakukan. Ketika berasa sihat dan cergas serta menikmatinya, saya akan melakukannya. Namun, ia nampak terlalu banyak sehingga Piala Dunia akan datang. Saya perlu melihat ke arah mana kerjaya saya, apa yang akan saya lakukan. Ia bergantung kepada banyak perkara,” katanya.

Dalam tempoh terdekat, Messi melahirkan hasrat untuk bermain dalam Copa America tahun depan untuk membantu Argentina mempertahankan kejuaraan.

“Tempoh saya bermain tidak begitu lama lagi, saya mahu menikmati tempoh itu,” katanya.

Scaloni pula sedang berunding kontrak baharunya dengan Persekutuan Bola Sepak Argentina dan Messi berpendapat jurulatih itu harus dikekalkan.

“Dia sangat penting untuk pasukan kebangsaan. Untuk meneruskan proses ini akan menakjubkan,” katanya.

Ditanya perasannya kembali ke kelabnya, Paris Saint Germain selepas Argentina menewaskan Perancis menerusi sepakan penalti untuk memenangi Piala Dunia, Messi berkata dia tidak berbincang perkara itu dengan rakan sepasukannya, Kylian Mbappé, penyerang Perancis.

“Tiada siapa mahu bercakap mengenai perkara itu,” kata Messi mengimbau pengalamannya sendiri selepas tewas pada final Piala Dunia 2014 kepada Jerman di Brazil.

“Saya juga pernah berada di pihak yang kalah dalam perlawanan akhir Piala Dunia dan saya tidak mahu bercakap mengenainya. Sebenarnya tidak ada masalah dengan Kylian, bukan seperti kata orang lain,” katanya.

Messi bakal bermain untuk Argentina dalam perlawanan persahabatan yang dijadualkan di Buenos Aires pada Mac ini untuk meraikan kejuaraan Piala Dunia ketiga pasukan itu bersama peminat mereka. – AP

- Advertisement -