Kongres AS desak Turkiye terima Finland, Sweden jika mahu F-16

Turkiye mahu beli 40 pesawat pejuang F-16
- Advertisement -

WASHINGTON: Kongres Amerika Syarikat (AS) tidak akan menyokong penjualan pesawat pejuang F-16 bernilai AS$20 bilion kepada Turkiye sehingga Ankara bersetuju menerima Sweden dan Finland menyertai NATO.

- Advertisement -

Tahun lalu, Sweden dan Finland memohon menyertai pakatan pertahanan itu selepas Rusia menyerang Ukraine, tetapi menghadapi bantahan yang tidak dijangka dari Turkiye dan sejak itu berusaha untuk memenangi sokongan negara itu.

Ankara mahu Helsinki dan Stockholm mengambil tindakan lebih tegas terhadap Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang dianggap sebagai kumpulan pengganas oleh Turkiye dan Kesatuan Eropah serta satu lagi kumpulan yang dipersalahkan kerana cubaan rampasan kuasa pada 2016.

Ketiga-tiga negara mencapai persetujuan berhubung keanggotaan NATO di Madrid Jun lalu, tetapi Ankara menangguhkan rundingan bulan lalu berikutan protes di Stockholm apabila seorang ahli politik Denmark berhaluan kanan membakar kitab suci al-Quran.

Dalam surat kepada Presiden Joe Biden, 29 Senator Demokrat dan Republikan menyatakan bahawa dua negara Nordik melakukan sedaya upaya dan ikhlas untuk memenuhi syarat keanggotaan NATO yang Turkiye minta walaupun Ankara berkata Sweden perlu melakukan lebih banyak lagi.

“Apabila protokol keanggotaan NATO disahkan oleh Türkiye, Kongres boleh mempertimbangkan penjualan jet pejuang F-16. Kegagalan berbuat demikian menyebabkan proses penjualan yang belum selesai ini dipersoalkan,” mengikut kenyataan senator berkenaan.

Ia adalah kali pertama Kongres mengaitkan penjualan F-16 kepada Turkiye dan keanggotaan NATO kedua-dua negara Nordic.

Pentadbiran Biden berulang kali menyatakan sokongan penjualan F-16 dan enggan mengaitkan kedua-dua isu itu. Namun mengakui bahawa pengesahan keanggotaan Sweden dan Finland dalam NATO akan memudahkan proses penjualan itu di Kongres.

Turkiye menyatakan kesediaan menerima permohonan keanggotaan Finland secara berasingan tanpa Sweden, tetapi Finland menolak dengan alasan bahawa keselamatan kedua-dua negara Nordik itu saling bergantung.

Daripada 30 anggota NATO, hanya Turkiye dan Hungary belum mengesahkan keanggotaan dua negara Nordik berkenaan.

Turkiye pada Oktober 2021 memohon membeli 40 pesawat pejuang F-16 Lockheed Martin Corp dan hampir 80 kit pemodenan untuk pesawat sedia ada.

Ketika lawatan ke Washington bulan lalu, Menteri Luar Turkiye Mevlut Cavusoglu, berkata isu NATO tidak wajar menjadi prasyarat untuk penjualan itu dan menggesa pentadbiran Biden memujuk Kongres untuk menggugurkan bantahan itu.

Walaupun Kongres boleh menyekat penjualan senjata asing, ia memerlukan sokongan majoriti dua pertiga dalam kedua-dua dewan untuk mengatasi veto presiden. – REUTERS

- Advertisement -