Demam babi Afrika di Pulau Pinang merebak

Foto hiasan.
- Advertisement -

GEORGE TOWN: Penyakit African Swine Fever (ASF) atau demam babi Afrika kini telah merebak ke daerah Barat Daya Pulau Pinang, menyebabkan tiga lagi ladang ternakan babi ditutup.

- Advertisement -

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata sehingga semalam 27 ladangan ternakan babi di Pulau Pinang telah dikesan dijangkiti ASF membabitkan 62,197 ekor babi.

“Setakat ini, jumlah pecahan ladang yang dijangkiti ASF ialah 18 ladang di daerah Seberang Perai Selatan, dua ladang di Seberang Perai Tengah, empat ladang di Seberang Perai Utara dan tiga di Barat Daya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata antara faktor yang menyebabkan penyakit ASF ini merebak ke ladang lain adalah pengerakan pengangkutan dan setakat ini, 11,943 ekor babi telah dimusnahkan dari ladang-ladang positif yang dikenal pasti.

Katanya kerja-kerja pemusnahan masih giat dijalankan bagi mengekang penularan penyakit manakala bangkai babi yang dilupuskan ditanam di satu kawasan yang jauh dari penempatan awam dan tiada pembangunan bagi memastikan tidak berlaku kacau ganggu kepada orang awam.

Chow berkata Pulau Pinang bagaimanapun tidak akan menghadapi masih kekurangan bekalan untuk penggunaan sendiri kerana negeri ini merupakan negeri pengeksport daging babi ke negeri lain.

Menurutnya berdasarkan bancian tahun 2022 oleh JPV Pulau Pinang, terdapat 124 ladang babi di empat daerah di Pulau Pinang dengan populasi keseluruhan sebanyak 267,348 ekor.

“Setakat ini, Pulau Pinang masih mempunyai lebih 90 ladang ternakan babi yang tidak dijangkiti penyakit dan masalah kekurangan bekalan daging babi di pasaran tidak akan berlaku,” katanya.

Beliau berkata Pulau Pinang mempunyai kekuatan 170 petugas daripada pelbagai agensi untuk menguruskan penularan wabak ini.

Chow turut memohon penternak serta orang awam supaya segera melaporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri, Daerah, atau hubungi Hotline Bilik Pengurusan Krisis Penyakit JPVPP dengan menelefon 04-5041047 sekiranya mengesan kematian babi hutan, babi kampung atau babi komersil. – BERNAMA

- Advertisement -