AKSB kesan ada pihak usik kawalan injap paip

- Advertisement -

KOTA BHARU: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mengesan terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab mengusik, mengganggu atau mengubah kawalan injap di beberapa kawasan menyebabkan air tidak mengalir ke rumah pengguna di kawasan berbukit.

- Advertisement -

Menurut AKSB tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab itu akan dilaporkan kepada pihak berwajib termasuk Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan polis.

Katanya tindakan boleh diambil di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 di bawah Seksyen 125 oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya,” katanya pada kenyataan di sini.

Media sebelum ini melaporkan seramai 150 penduduk di Rancangan Kemajuan Tanah (KRT) Kesedar Renok Baru tidak mendapat bekalan air bersih.

Kata AKSB tindakan segera telah diambil termasuk membetulkan semula kedudukan injap yang diganggu bagi memastikan keadaan injap dan saliran air kembali kepada keadaan yang sepatutnya.

Katanya juga beberapa tindakan akan diambil AKSB bagi menangani isu tersebut di mana air valve di sepanjang jajaran paip akan diganti bagi mengurangkan masalah ‘air lock’.

Menurut kenyataan itu juga kawasan terbabit menerima bekalan air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) Limau Kasturi yang melibatkan anggaran agihan sebanyak 50 akaun bermeter.

“Pengguna di lokasi berkenaan berada di kawasan hujung paip agihan sehingga berlaku kekurangan bekalan dan tekanan air.

“Keadaan muka bumi yang berbukit dan jalan kampung juga menyebabkan penghantaran air melalui lori tangki tidak dapat dilakukan,” ujarnya.

AKSB juga memberitahu bagi jangka masa panjang Loji Rawatan Air Limau Kasturi akan dinaik taraf untuk menambah sumber air sebanyak 4 MLD di bawah peruntukan kerajaan negeri.

Oleh itu AKSB menasihatkan pengguna supaya memaklumkan kepada AKSB berhubung masalah bekalan air yang dihadapi bagi membolehkan tindakan segera diambil.

Pengguna boleh membuat laporan, aduan dengan menghubungi AKSB di talian 15777 ATAU Whatsapp ke 019-5755777 atau email ke [email protected]. – HARAKAHDAILY 3/2/2023

- Advertisement -