Agenda jijik Paludan cabar Islam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menyifatkan tindakan Rasmus Paludan membakar lagi naskah al-Quran buat kali kedua baru-baru ini adalah sebagai tindakan yang telah mencabar kesabaran umat Islam di seluruh dunia.

- Advertisement -

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustaffa berkata tindakan yang dilakukan oleh Paludan sangat menjijikkan kerana telah mencetuskan provokasi jahat bagi meningkatkan rasa kebencian dan Islamofobia di negara barat.

Sejak daripada itu, tindakan Islamofobia semakin berleluasa di Eropah, sekali gus mencetuskan kemarahan dan tunjuk perasaan yang membabitkan umat Islam di seluruh dunia. 

Beliau turut memberitahu, Sweden merupakan sebuah negara yang terkenal di pelosok dunia, yang mana rakyat di negara itu pula dikatakan mengamalkan kebebasan dalam beragama dan bersuara.

Oleh yang demikian, kerajaan Sweden tidak sewajarnya membiarkan sebarang tindakan salah laku yang boleh membawa kepada peningkatan keganasan agama dan kaum berlaku seperti apa yang telah dilakukan oleh Paludan baru-baru ini.  

“Kerajaan Sweden seharusnya bersikap tegas membendung segala tindakan yang boleh membawa kepada provokasi anti agama dan perkauman yang melampau.

“UMMAH yakin tindakan yang dilakukan oleh Paludan bukan secara berseorangan malah ianya dilakukan secara berkumpulan dan berorganisasi,” tegasnya kepada HarakahDaily.  

Mohd Zai menegaskan bahawa sekiranya tiada tindakan tegas yang dikenakan ke atas Paludan dan pengikutnya, berkemungkinan besar perkara-perkara seperti ini tidak akan terhenti dan makin berleluasa pada masa akan datang. 

Dengan itu, kerajaan Sweden seharusnya bertindak segera bagi mengambil tindakan yang tegas dan pantas terhadap Rasmus Paludan dan semua pihak yang terlibat.

Sebagai contoh, kejadian keganasan anti Islam yang telah berlaku di Masjid Al-Noor berhampiran Hagley Park dan Masjid Linwood di Christchurch, New Zealand yang telah mengorbankan 40 nyawa dan lebih 20 orang cedera pada 15 Mac 2019 wajar menjadi pengajaran dan perlu dielakkan agar tidak akan berulang lagi di seluruh dunia.

Tindakan Anwar belum memadai

Justeru, beliau memuji tindakan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai sangat bagus dalam menguar-uarkan untuk mencetak sejuta naskhah al-Quran bagi diedarkan ke seluruh dunia, sebagai tanda protes secara fizikal terhadap Paludan. 

Namun begitu, katanya lagi, tindakan secara fizikal itu belum memadai kerana cabaran sebenar bukan jumlah fizikal yang dipersoalkan. 

“Ia melibatkan soal maruah dan penghormatan kepada kitab suci umat Islam yang dipersenda-sendakan dan seterusnya mencabar reaksi tindak balas umat Islam. 

“Al-Quran merupakan kitab suci umat Islam yang wajar dipertahankan kehormatan dan kesuciannya.

“Walau bagaimanapun, kesabaran umat Islam wajar menjadi contoh kepada negara Barat betapa walaupun Islam diprovokasi secara melampaui batas, namun reaksi umat Islam masih sabar, rasional dan menghormati batas undang-undang dan kemanusiaan,” ujarnya.

Negara-negara Islam, ujar Mohd Zai, seharusnya bersatu bagi meningkatkan kesatuan ummah bagi membela mana-mana nasib umat Islam yang ditindas, malah mempertahankan Islam jika dipersendakan diseluruh dunia. 

“Solidariti umat Islam dan dunia Islam wajar diperkukuhkan bagi menghadapi cabaran peningkatan Islamofobia,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/2/2023

- Advertisement -