Zahid bakal jadi punca Umno-PH kalah PRN nanti

- Advertisement -

POPULARITI Zahid Hamidi kini tiada tandingan. Mungkin lebih popular daripada DS Najib Razak Ketika Umno kalah dalam PRU14 yang lalu.

Sekiranya kita buka di media sosial sama ada Facebook, Twitter, atau Tik Tok pasti akan dihidangkan dengan bahan berbentuk kecaman dan kemarahan rakyat ke atas Presiden Umno yang malang ini.

Populariti Zahid Hamidi ini amat luar biasa. Ia membuatkan PH yang menjadi sebahagian daripada kerajaan pada hari ini terpalit sama akibat daripada gelombang penolakan rakyat ke atas Zahid Hamidi.

Sekiranya sebelum PRU15 masih ada orang Melayu yang sudi menyokong Zahid namun kini selepas Zahid bersama dengan Anwar Ibrahim dan DAP pastinya sebilangan besar daripada penyokong Melayu tadi akan mengangkat kaki dan berlalu pergi.

Bayangkan ketika sebelum bersama Anwar dan DAP Zahid Hamidi di Parlimen Bagan Datuk hanya mampu mencatat rekod undi majoriti sebanyak 348 undi.

Bagaimanakah seorang Presiden kepada parti Melayu yang telah berjuang untuk Melayu dan Malaysia sejak daripada merdeka hampir 66 tahun hanya mendapat majoriti yang amat rendah seperti ini.

Sekiranya kita bandingkan dengan majoriti undi yang dicapai oleh Tan Sri Presiden PAS di Parlimen Marang iaitu sebanyak 41,729 undi. Ternyata Zahid Hamidi jauh ketinggalan. Ibarat langit dan bumi.

Perbezaan yang sangat ketara dan sokongan pengundi kepada Presiden PAS ini amat signifikan sesuai dengan sumbangan PAS kepada negara selama ini.

Bayangkan selepas ini, apabila Zahid bersama dengan Anwar dan DAP pastinya 2/3 daripada pengundi Melayu di Bagan Datuk itu akan kecewa dan meninggalkan Umno. Begitu juga penyokong Umno yang lain di seluruh negara.

Sungguh malang nasib Umno. Kini, nafas politik Umno dalam arena politik tanah air tercungap-cungap akibat daripada Presiden yang lemah dan terpalit dengan kes yang membunuh masa depan politik Umno.

Zahid Hamidi kini liabiliti kepada Umno dan Pakatan Harapan. Kerajaan Madani ini mungkin tidak mampu kekal lama. Terlalu banyak pihak yang tidak berpuas hati termasuklah pemegang taruh yang paling utama dalam demokrasi di negara ini iaitu rakyat.

Pastinya rakyat akan menghukum kerajaan Anwar dan Zahid Hamidi ini dalam PRU DUN akan datang. Umno bakal ‘disembelih’ hidup-hidup. PH bakal terheret.

Sekian.

ABDUL RAHMAN FAUDZI
Ketua Penerangan 
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor – HARAKAHDAILY 2/2/2023

- Advertisement -
- Advertisement -