Tentera AS perluaskan kehadiran di Filipina

Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Lloyd Austin. bertemu Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr.
- Advertisement -

MANILA: Amerika Syarikat (AS) dan Filipina mengumumkan perjanjian baharu yang memperluaskan kehadiran tentera AS di negara Asia Tenggara itu.

- Advertisement -

Tentera AS akan diberikan akses ke empat lagi kem tentera Filipina yang membolehkan kuasa besar itu mempunyai pangkalan menghadapi China yang didakwa semakin bertindak agresif terhadap Taiwan dan Laut China Selatan yang dipertikaikan.

Perjanjian antara dua sekutu lama mengikut pakatan pertahanan 2014 diumumkan ketika lawatan Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin.

Kedua-dua negara dalam kenyataan bersama menyatakan bahawa kemajuan dicapai dalam projek di lima kem tentera Filipina yang anggota tentera AS diberikan akses oleh pegawai Filipina mengikut Perjanjian Kerjasama Pertahanan Dipertingkatkan (EDCA).

Austin bertemu Presiden Ferdinand Marcos Jr yang mengambil langkah memupuk hubungan lebih erat dengan Washington sejak memegang jawatan pada Jun lalu dan kemudian bertemu rakan sejawatannya dari Filipina, Carlito Galvez Jr, membincangkan rancangan Washington untuk memperluaskan kehadiran tentera AS di negara itu.

“EDCA ialah tonggak utama pakatan AS-Filipina, membabitkan sokongan latihan bersama serta kebolehoperasian antara tentera kedua-dua negara,” kata kenyataan bersama itu.

Kedua-dua negara menyatakan bahawa penambahan lokasi EDCA baharu akan membolehkan sokongan lebih pantas untuk bantuan bencana kemanusiaan dan berkaitan iklim di Filipina, selain bertindak balas terhadap cabaran bersama yang lain.

Tiada perincian diberikan mengenai perjanjian itu, termasuk lokasi empat kem tentera Filipina yang tentera AS akan dibenarkan membina berek, gudang dan hangar. Namun, pegawai tentera Filipina berkata pada November lalu bahawa AS telah mendapatkan akses kepada lima lagi kem tentera tempatan yang kebanyakan terletak di Luzon, iaitu wilayah utara Filipina.

Dua daripada kem tambahan terletak berhampiran utara Luzon, setentang dengan Taiwan, Selat Taiwan dan selatan China. Kem tempatan lain yang akan menjadi tuan rumah tentera AS terletak di sepanjang pantai barat negara itu yang berhadapan Laut China Selatan.

China dan Filipina, bersama Vietnam, Malaysia, Brunei dan Taiwan, terbabit dalam pertikaian wilayah yang semakin tegang berhubung Laut China Selatan yang sibuk dan kaya dengan sumbern asli.

Washington tidak membuat sebarang tuntutan di perairan strategik itu, tetapi mengerahkan kapal perang serta pesawat pejuang dan pengawasan untuk rondaan yang didakwa bagi menggalakkan kebebasan pelayaran dan kedaulatan undang-undang, tetapi menimbulkan kemarahan Beijing.

“Pakatan Filipina-AS terbukti bertahan sejak dulu dan terus kukuh. Kami menanti peluang yang akan dicipta oleh kawasan baharu ini untuk mengembangkan kerjasama kami,” mengikut kenyataan itu

Filipina pernah menjadi tuan rumah dua pangkalan Tentera Laut dan Tentera Udara AS terbesar di luar tanah besar AS.

Pangkalan itu ditutup pada awal 1990-an selepas Senat Filipina menolak kehadiran pangkalan itu dilanjutkan, tetapi tentera AS kembali untuk latihan pertempuran berskala besar dengan tentera Filipina mengikut Perjanjian Pasukan Pelawat 1999 dan pakatan EDCA.

Perlembagaan Filipina melarang pangkalan tetap tentera asing dan penglibatan dalam pertempuran tempatan. Namun, pakatan pertahanan EDCA membenarkan tentera AS berada dalam kem Filipina dengan peralatan pertahanan mereka, kecuali senjata nuklear. – AP

- Advertisement -