Sweden perlu ‘bertindak secara berbeza’ untuk menyertai NATO

Peter Szijjarto (kiri) dan Mevlut Cavusoglu dalam pertemuan di Budapest.
- Advertisement -

BUDAPEST: Kerajaan Sweden perlu “bertindak secara berbeza” jika mahu meraih sokongan Turki untuk menyertai NATO, kata Menteri Luar Hungary sambil menyatakan bahawa kejadian membakar al-Quran di luar kedutaan Turkiye di Stockholm baru-baru ini tidak boleh diterima.

- Advertisement -

Peter Szijjarto membuat kenyataan itu pada sidang akhbar selepas perbincangan dengan rakan sejawatannya dari Turkiye, Mevlut Cavusoglu.

Kedua-dua diplomat menyatakan bahawa bantahan anti-Turkiye dan membakar al-Quran pada 21 Januari lalu, meningkatkan ketegangan antara Ankara dan Stockholm ketika Sweden perlu meminta persetujuan Turkiye untuk menyertai pakatan tentera itu.

“Sebagai seorang Kristian dan Katolik, saya mesti mengatakan bahawa membakar kitab suci agama lain adalah tindakan yang tidak boleh diterima,” kata Szijjarto.

Beliau mengkritik kenyataan Perdana Menteri Sweden bahawa walaupun pembakaran al-Quran adalah tidak wajar dan tidak menghomati umat Islam, perbuatan itu dilindungi oleh undang-undang berdasarkan hak kebebasan bersuara negara itu.

“Menyatakan bahawa pembakaran kitab suci adalah sebahagian kebebasan bersuara adalah kebodohan yang jelas,” kata Szijjarto, sambil menambah bahawa “mungkin mereka (Sweden) harus bertindak secara berbeza daripada itu” jika mahu mendapatkan sokongan Ankara.

Pertemuan di Budapest diadakan ketika Turki dan Hungary kekal sebagai dua anggota NATO yang belum meluluskan permohonan Sweden dan Finland untuk menyertai pakatan tentera itu.

Sweden dan Finland yang berkongsi sempadan dengan Rusia, menamatkan prinsip berkecuali ketenteraan kedua-dua negara dan memohon menyertai NATO berikutan konflik di Ukraine. – AP

- Advertisement -