Sami Tokong Tam Kung gembira terima kunjungan PAS

- Advertisement -

SANDAKAN: Sami dan pengurus Tokong Tam Kung dekat sini, meluahkan perasaan gembira menerima kunjungan pemimpin PAS Sabah sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

- Advertisement -

Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Sahar Abdul Majid berkata, mereka menyambut baik kunjungan pemimpin PAS Sandakan dan Sabah ke tokong yang jarang berlaku sebelum ini.

Katanya, pimpinan rumah tokong terbabit menyifatkan kali pertama dalam sejarah orang Islam datang ke rumah ibadat mereka.

“Pada pertemuan itu, kami menyatakan keterbukaan PAS terhadap kepelbagaian kaum dan agama di Sabah,” katanya pada catatan di laman sosialnya.

Rombongan PAS Sandakan turut mengunjungi Persatuan Penganut Buddha Hong Fa Sandakan Batu 2 1/2 dan Persatuan Lin Shen.

Turut hadir Ketua Penerangan Pemuda PAS Sabah, Mustaman Mustain dan Ketua Himpunan Pendukung PAS Sandakan, Isaac Wong Kah Kiet.

Sahar yang juga Yang Dipertua PAS Sandakan berkata, setiap kaum perlu bersatu padu dan saling hormat menghormati bagi menjamin keharmonian masyarakat pelbagai kaum.

Menurutnya, PAS Sandakan turut berbincang mengenai beberapa kerjasama dengan pihak pengurusan tokong bagi meningkatkan lagi hubungan yang sedia terjalin. – HARAKAHDAILY 2/2/23

- Advertisement -