Rasulullah diguna bila mereka berkehendak

- Advertisement -

DIA guna hujah Rasulullah S.A.W pun lantik anak beranak dalam pemerintahan. Dia lupa yang semua Rasulullah S.A.W lantik itu, pakar dalam bidang masing-masing. Bukan itu sahaja, tetapi juga sangat kuat ibadatnya kepada Allah.

Dia kata tak ambil gaji, dia lupa yang Saidina Abu Bakar diberikan gaji dan tak perlu buat kerja lain untuk sara hidup supaya fokus kepada kerajaan. Dia juga lupa, Saidina Umar pun ambil gaji, walaupun beliau sendiri kurangkan sekadar keperluan dia dan keluarga sahaja. 

Dia juga tidak ingat yang Rasulullah S.A.W tak mungkir janji bila berjanji. Sebelum naik janji nak bagi itu, nak hapus ini, akhirnya semua yang janji nak diberi, dia tak beri, semua yang dia nak dihapus pula, dia kekalkan. 

Dia buat-buat lupa yang banyak lagi benda yang Islam larang, dia buat, tetapi tetap mengaku dia dipuji ulamak dunia. Yalah ulamak luar sana nak tengok macam mana. Cubalah joget-joget depan ulamak itu.

Bila perlu kepada hujah mahu mempertahankan perbuatan dia supaya kelihatan Islamis yang ternyata lari dari apa yang dia dan kumpulannya perjuangkan, maka Islam, Rasulullah S.A.W ulamak penjilatnya dia guna sebagai perisai.

Masih ingatkah kita kepada satu ungkapan oleh pimpinan dari partinya suatu masa dahulu yang memperlekehkan Rasulullah S.A.W dengan mengatakan pemerintahan Rasulullah S.A.W tidak boleh dibuat sebagai perbandingan zaman sekarang kerana Madinah hanya bersaiz Bukit Beruntung sahaja.

Begitulah hinanya Rasulullah S.A.W di mata pimpinan mereka apabila Islam mereka tidak mahu guna, berbagai misal nista pula mereka keluarkan. Kini, konsep Madani mereka guna pula, asas dahulu adalah dibawa oleh Rasulullah S.A.W, sehingga membawa kepada nama Madinah.

Mereka bersungguh cuba bandingkan perbuatan mereka dengan Rasulullah S.A.W, yang kita tahu Baginda tidak pernah menonton konsert separuh bogel ataupun berjoget bersama wanita lain mahupun berdansa bersama artis India selepas kuliah maghrib. Tetap Rasulullah S.A.W kekal dengan jalan Islam, walau dihina dan diancam bunuh.

Adakah kerana penyokong mereka mengangkatnya seumpama Nabi Yusof dan juga Imam Mahadi, maka layaklah dia disamakan dengan Rasulullah S.A.W? Ingat ini, Rasulullah S.A.W adalah dijamin syurga terus oleh Allah. Yang Baginda angkat yang disamakan dengan ‘kroni’ itu juga adalah mereka yang dijanjikan syurga sewaktu masih hidup. Samakah dengan ‘kroni’ yang ada sekarang?

Hujah Islam hanya diguna mereka untuk melepaskan diri dan memperbodohkan orang. Namun Islam, tetapi tinggi dan tiada yang lebih tinggi darinya. Bukan salah lantikan, tetapi prinsip yang dibuat, dia sendiri yang langgar.

Kemudian PAS mereka gunakan sebagai tanda aras. PAS pun buat juga, lantik kroni kata mereka. Jadi PAS adalah logo halal kepada mereka untuk berbuat sesuatu? Kalau begitu, nyatalah PAS lebih mulia dari mereka, kerana mereka ikut yang PAS buat, baru sempurna ia ikut Islam, begitukah?

Ingat sekali lagi dalam minda kita, bukan salah melantik keluarga terdekat, tetapi janji untuk tidak melantik itu, datangnya dari mulutnya sendiri. Itu isunya. PAS istiqamah menjulang tinggi Sunnah Rasulullah S.A.W setiap masa, bukan hanya ketika perlu.

MOHD NASIR ABDULLAH
2 Februari 2023 – HARAKAHDAILY 2/2/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -