Polis KL rekod 444,120 laporan polis tahun lepas

Foto daripada Facebook Polis KL.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur merekodkan 444,120 laporan polis pada tahun lepas yang menyaksikan peningkatan sebanyak 69,532 laporan berbanding 374,588 laporan pada 2021.

- Advertisement -

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata daripada jumlah itu, 60 peratus untuk tindakan agensi itu manakala 40 peratus lagi melibatkan siasatan daripada agensi penguatkuasaan yang lain.

Menurutnya, dianggarkan purata 50 aduan atau laporan polis diterima di semua balai polis di Kuala Lumpur dan Putrajaya setiap hari.

“Semua laporan polis yang diterima, siasatan dibuat cuma bentuk siasatan berbeza dan kami menekankan pesalah harus dibawa ke muka pengadilan.

“Peningkatan ini adalah sesuatu yang baik kerana ia memperlihatkan keyakinan masyarakat terhadap perkhidmatan polis menyebabkan mereka terpanggil untuk membuat laporan,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Azmi berkata 86,409 kertas siasatan dibuka membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur sepanjang tahun lalu.

Beliau berkata jumlah itu meningkat sebanyak 22,474 kertas siasatan berbanding 63,935 kertas siasatan pada 2021.

  “Dari segi pertuduhan pula, 79,621 kes sudah dituduh di mahkamah pada tahun lalu dan jumlah itu meningkat sebanyak 25,660 kes berbanding 53,961 kes dituduh pada 2021,” katanya.

Sementara itu, Azmi berkata 14,342 operasi dijalankan menerusi JSJ, JSJK, JSJN dan JSPT IPK Kuala Lumpur sepanjang tahun lalu, selain menjalankan 63,560 program tindakan pencegahan membabitkan elemen mendidik masyarakat mengenai kesedaran jenayah dalam tempoh yang sama.

 “Polis Kuala Lumpur menyasarkan tindakan lebih bersepadu dan holistik secara berterusan dalam usaha menjadikan Kuala Lumpur dan Putrajaya sebagai bandar raya yang selamat didiami,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -