Lelaki ditahan, dadah bernilai RM6.36 juta dirampas

- Advertisement -

SERDANG: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki mengedar pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM6.36 juta dalam serbuan di sebuah kilang di Seri Kembangan di sini, Jumaat lepas.

- Advertisement -

Ketua Polis Daerah Serdang ACP A. A. Anbalagan berkata dalam serbuan itu, polis merampas dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 123 kilogram (kg), syabu (0.5 kg), 18 botol berisi serbuk dadah (301 gram), pil ekstasi (21 gram) dan ganja (13.8 gram) serta tiga mesin memproses dadah.

“Dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran di sekitar Lembah Klang,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini hari ini.

Beliau berkata turut dirampas wang tunai RM10,000 dan dua kenderaan disita.

Menurutnya suspek menyewa premis berkenaan di bawah nama syarikat lain bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Anbalagan berkata suspek disyaki aktif dalam penjualan dadah sejak setahun lepas selain turut memproses dadah dan menjadi ‘runner’.

Beliau berkata lelaki terbabit dipercayai memperoleh pendapatan RM10,000 hingga RM15,000 seminggu bagi 50,000 biji pil erimin yang diprosesnya.

“Polis percaya ada lagi rakan suspek yang masih bebas mengendalikan sindiket berkenaan,” katanya menambah suspek direman tujuh hari hingga esok mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA

- Advertisement -