BERSATU mohon pembekuan akaun dibatalkan, kerja pentadbiran sukar

Muhyiddin (tiga dari kiri) dalam sidang media Pemukiman Ahli Dewan Rakyat PERIKATAN NASIONAL, di Hotel Tamu & Suites, Kuala Lumpur, pada hari ini, 2 Feb 2023. (FOTO: HARAKAHDAILY/Jamal Kemala)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) memohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membatalkan pembekuan akaun parti itu bagi melancarkan kerja-kerja pentadbiran yang kini menjadi sukar. 

- Advertisement -

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, permohonan itu akan dibuat melalui surat yang akan dihantar kepada SPRM, hari ini. 

“BERSATU telahpun menulis ataupun kita akan hantar surat hari ini kepada SPRM supaya perintah pembekuan akaun Bersatu dapat dibatalkan.

“Apabila dibekukan akaun, kami sebagai pertubuhan politik tiada duit untuk membayar gaji (pihak) pentadbiran – bukan sahaja untuk sebulan, tetapi bagi sepanjang masa. 

“Jika pegawai-pegawai saya tidak dibayar gaji, pejabat tidak dibayar sewa, itu membawa kesan kepada kelicinan pentadbiran parti,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media Pemukiman Ahli Dewan Rakyat PERIKATAN NASIONAL (PN), di Hotel Tamu & Suites Kuala Lumpur, di sini, hari ini. 

Menurut Muhyiddin, sebagai sebuah parti politik, BERSATU memohon supaya SPRM seboleh mungkin agar segera membatalkan pembekuan akaun parti itu, sebaik sahaja selesai menyemak dan mendapati tiada berlaku sebarang penyelewengan.

Selain itu katanya, BERSATU juga memerlukan dana untuk membiayai kempen Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) enam buah negeri yang dijangka berlangsung tidak lama lagi pada tahun ini. 

“Janganlah pembekuan akaun BERSATU ini menjadi motif sebenar pihak kerajaan PH-BN untuk menguburkan jentera BERSATU dan PN dalam PRN itu kelak. 

“Motifnya politik, jadi kalau langkah begini diambil, maka sudah tentu menghalang apa sahaja usaha yang dibuat untuk terlibat dalam aktiviti pilihan raya,” ujarnya. 

Beliau juga yakin SPRM akan menjalankan siasatan secara telus dan profesional, selain memberi jaminan BERSATU akan memberikan kerjasama penuh kepada SPRM untuk melengkapkan siasatan.

Bekas Perdana Menteri itu memberitahu bahawa dasar yang ditetapkan BERSATU sentiasa memastikan sumbangan kepada parti itu dimasukkan ke dalam akaun parti sendiri dan bukan akaun peribadinya mahupun pegawai BERSATU.

“Saya tegaskan dasar ditetapkan oleh BERSATU setiap sumbangan kepada parti mesti dimasukkan ke dalam akaun parti, tidak ada dana politik sumbangan dimasukkan ke dalam akaun peribadi saya atau pegawai parti saya atau mana-mana organisasi yang mempunyai kepentingan.

“Saya ingin menegaskan, ia telah disemak SPRM dan saya percaya siasatan kepada penyata akaun BERSATU kelak akan mendapati tidak ada wang berbilion ringgit dalam akaun parti. Kalau ada, itu pelik juga kaya-raya kita,” ujarnya.

Tegas Muhyiddin, BERSATU telah menyerahkan beberapa akaun parti itu yang telah diaudit iaitu akaun bagi tahun 2020 dan 2021 kepada SPRM.

“Jadi, jumlah wang masuk dan baki wang dalam BERSATU, semuanya ada dalam pengetahuan SPRM. Saya yakin rekod keluar masuk wang dalam BERSATU adalah teratur dan daripada sumber sah di sisi undang-undang,” kata Ahli Parlimen Pagoh itu lagi.

Terdahulu, SPRM pada 1 Feb lepas telah mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya baru-baru ini telah membekukan beberapa akaun milik BERSATU.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Dr Muhammad Faiz Na’aman mengesahkan pembekuan akaun berkenaan dan berkata beliau percaya pembekuan akaun BERSATU itu ada kaitan dengan siasatan SPRM terhadap dana kerajaan RM92.5 billion yang didakwa diseleweng oleh kerajaan PN ketika melaksanakan pelbagai pakej rangsangan susulan pandemik Covid-19.

Pada masa sama, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, akaun BERSATU terbabit dibekukan untuk membantu siasatan ke atas wang yang disyaki daripada hasil haram (illegal proceeds).

“Siasatan sedang dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram,” katanya.

Disember lalu, SPRM mengesahkan sudah menerima butiran berhubung pecahan dana pakej rangsangan ekonomi yang dibelanjakan kerajaan pada 2020 dan 2021 berhubung pengurusan dalam menangani pandemik Covid-19 daripada Kementerian Kewangan

Dalam kenyataannya itu, SPRM berkata, bahawa fokus siasatan kini adalah terarah kepada RM92.5 bilion membabitkan dana kerajaan daripada nilai dakwaan penyelewengan wang perbelanjaan negara yang dianggar hampir RM600 bilion. HARAKAHDAILY 2/2/2023

- Advertisement -