Beku akaun BERSATU, strategi rosakkan integriti PN – Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim Tuan Man bercakap kepada media selepas sidang media Pemukiman Ahli Dewan Rakyat Perikatan Nasional di Hotel Tamu & Suites, Kuala Lumpur, pada hari ini, 2 Feb 2023. (FOTO: HARAKAHDAILY/Jamal Kemala)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dakwaan salah laku pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sehingga menyebabkan pembekuan akaun parti itu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini, dianggap sebagai satu strategi ‘pihak tertentu’ untuk merosakkan integriti Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan datang. 

- Advertisement -

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dakwaan tersebut bertujuan merendahkan integriti dan kestabilan PN yang selama ini menjadi asas sokongan rakyat kepada PN selama ini. 

“Ada dua perkara, pertama sekali sokongan rakyat kepada kita adalah soal integriti;  jadi, ‘mereka’ akan usahakan supaya nilai integriti itu merosot, dengan buat fitnah, serbu, tutup akaun dan sebagainya.

“Bukan perkara baharu, banyak berlaku dalam negara dan luar negara. Bagi PAS,  perkara ini tiada isu,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri sidang media Pemukiman Ahli Dewan Rakyat PERIKATAN NASIONAL, di Hotel Tamu & Suites, Kuala Lumpur, di sini, hari ini. 

Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, sama seperti ketika PAS dituduh menerima dana 1MDB bernilai RM90 juta sebelum ini, SPRM turut telah melakukan tindakan yang sama kepada BERSATU sekarang ini kerana atas dasar menjalankan tugasannya. 

“Semua akaun parti (PAS) diaudit, kita bentang setiap bulan dalam mesyuarat bulanan, kemudian dalam mesyuarat Agong pun kita bentang.

“Kita juga hantar kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), jadi saya fikir isu ini (pembekuan akaun BERSATU) sengaja dibuat (‘pihak tertentu’) untuk menggambarkan kepada rakyat dan hendak bina satu persepsi bahawa PN pun ada masalah integriti dan sebagainya,” katanya. 

Beliau percaya, dakwaan tersebut tujuan asasnya bukan membabitkan penyelewengan, namun lebih kepada usaha untuk melemahkan semangat PN menghadapi PRN di enam negeri itu kelak. 

“Tujuannya bukan soal penyelewengan, dan penyelewengan insya-Allah tidak berlaku, tetapi tujuannya sekurang-kurangnya adalah untuk melemahkan semangat PN, khususnya menghadapi PRN nanti.

“Sepatutnya operasi harian BERSATU mesti diteruskan, dan kewangan mesti digerakkan, jadi kalau akaun dibekukan akan banyak menyusahkan jentera parti tersebut,” katanya. HARAKAHDAILY 2/2/2023

- Advertisement -