AS buka kedutaan di Kepulauan Solomon, lawan pengaruh China

Pulau Solomon terletak berdekatan Australia dan pinggir Asia Tenggara
- Advertisement -

WELLINGTON: Amerika Syarikat (AS) membuka kedutaan di Kepulauan Solomon dalam langkah terbaru negara itu untuk menghadapi perluasan pengaruh China di rantau Pasifik.

- Advertisement -

Kedutaan di ibu negara, Honiara, bermula secara kecil-kecilan dengan seorang chargé d’affaires, beberapa kakitangan Jabatan Negara dan pekerja tempatan.

AS pernah mempunyai kedutaan di Kepulauan Solomon selama lima tahun sebelum ditutup pada 1993 sebagai sebahagian dasar pengurangan jawatan diplomatik di seluruh dunia selepas berakhirnya Perang Dingin.

Bagaimanapun, langkah berani China memasuki rantau Pasifik menyebabkan AS meningkatkan semula penglibatan dalam beberapa cara seperti menderma vaksin Covid-19, membawa balik sukarelawan Peace Corps serta melabur dalam projek perhutanan dan pelancongan.

“Pembukaan kedutaan bukan sahaja untuk menempatkan lebih ramai kakitangan diplomatik di seluruh rantau ini, tetapi melibatkan diri lebih mendalam dengan jiran Pasifik kami, menghubungkan program dan sumber AS dengan keperluan di lapangan dan memupuk hubungan rakyat dengan rakyat,” kata Setiausaha Negara, Antony Blinken dalam satu kenyataan, hari ini.

Pembukaan ini dibuat ketika pemimpin baharu Fiji, Perdana Menteri Sitiveni Rabuka, kelihatan menilai semula beberapa aspek penglibatan negaranya dengan China.

Rabuka memberitahu The Fiji Times minggu lalu bahawa beliau merancang untuk menamatkan perjanjian pertukaran dan latihan polis dengan China.

Jabatan Negara AS memberitahu penggubal undang-undang awal tahun lalu bahawa pengaruh China yang semakin meningkat di rantau Pasifik menjadikan pembukaan semula kedutaan Kepulauan Solomon sebagai keutamaan. Sejak itu, Solomon menandatangani pakatan keselamatan dengan China, menimbulkan kebimbangan kehadiran tentera di rantau ini. AS membalas dengan menghantar beberapa delegasi peringkat tinggi ke negara itu.

Kepulauan Solomon yang sebelum ini menjalin hubungan diplomatik dengan Taiwan berubah kepada Beijing pada 2019, sekali gus mengancam hubungan rapat dengan AS sejak Perang Dunia II.

“Kami melihat ikatan ini semakin lemah apabila Republik Rakyat China secara agresif berusaha melibatkan golongan elit politik dan perniagaan Kepulauan Solomon, memberi pinjaman infrastruktur yang mahal dan hutang yang mempunyai potensi bahaya,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan.

Seorang pegawai kanan Jabatan Negara yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, AS digalakkan oleh komitmen Kepulauan Solomon untuk terus bekerjasama dengan rakan kongsi keselamatan tradisional seperti Australia dan AS, tetapi tetap bimbang berhubung kerahsiaan yang menyelubungi perjanjian keselamatan dengan China.

Beliau berkata, sebarang bentuk ketenteraan di Pasifik oleh China akan menjadi kebimbangan besar.

Pegawai itu berkata, AS masih belum mengadakan perbincangan mendalam dengan kepimpinan baharu Fiji menyebabkan masih terlalu awal untuk mengetahui sama ada terdapat perubahan dasar Fiji terhadap China. – AP

- Advertisement -