Sany Hamzan: Beban besar buat PH-BN di Selangor

- Advertisement -

SEBULAN dua ini, kita mula dihiburkan dengan kemunculan gaya politik lucu oleh seorang ahli politik bernama YB Sany Hamzan, Ahli Parlimen Hulu Langat merangkap Pengarah Biro Mobilisasi PAN.

Selain daripada melucukan, tindakannya digelar oleh orang ramai sebagai badut politik, kerana gegak gempita dan kekecohan gimik politiknya sama ada di luar Parlimen atau di dalam Parlimen.

Pada Sidang Dewan Rakyat pertama pasca PRU15 yang diadakan pada 19 Disember lalu, YB Sany Hamzan sendiri telah ditempelak oleh Menteri Ekonomi dari PKR sendiri, YB Rafizi Ramli kerana tindakannya yang dilihat tidak sesuai, tidak beradab, riuh dan tidak mematuhi peraturan Dewan Rakyat.

“Saya tidak akan memberi ruang, sekiranya mahu bangun, saya silakan ke sebelah, boleh melalak sekuat-kuatnya di luar dewan,” tempelak Rafizi dalam Dewan Rakyat.

Selain itu YB Sany Hamzan juga popular di media sosial kerana sering mengherdik dan memaki hamun banyak pihak termasuk anggota agensi kerajaan dan pihak berkuasa seperti polis dalam keadaan yang kecoh dan kontroversi.

Ringkas kata, YB Sany Hamzan adalah seorang ahli politik yang panas baran dan sering tidak berpuas hati dengan ramai pihak, termasuk YB Rafizi Ramli yang mengkritiknya dalam Parlimen.

Apa yang menjadi masalah besar kepada PH di Selangor adalah, YB Sany Hamzan juga merupakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer dan merupakan tokoh politik PH yang semakin popular berbanding tokoh-tokoh politik yang lain.

Sikap gangster kampung serta panas baran YB Sany Hamzan dalam berpolitik, telah meletakkan PH dalam keadaan terbeban dengan imej yang buruk bagi rakyat Selangor.

Imej yang dilihat dan digambarkan orang ramai sebagai tidak terpelajar, tidak berakhlak, serta tidak bertamadun yang dibawa oleh YB Sany Hamzan, bakal menjadi liabiliti serta salah satu punca utama rakyat Selangor muak dengan politik hipokrasi PH, serta beralih kepada blok politik yang lebih tenang, profesional, berpengalaman, bersih dan stabil.

Bagi musuh PH, mereka sangat gembira dengan ‘liabiliti’ yang ada pada YB Sany kerana ia akan memudahkan lagi kerja politik mereka bagi merampas Negeri Selangor dalam PRU Negeri Selangor akan datang.

Namun, bagi PH adakah mereka boleh bertahan dengan bebanan yang bakal merugikan politik mereka ini? Sama-sama kita nanti dan perhatikan.

NAZRUL NAZIR
Timbalan Ketua Penerangan Pemuda PAS Selangor – HARAKAHDAILY 1/2/2023

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!