Rumah Putih marah Exxon catat untung AS$56 bilion

Amerika Syarikat dakwa syarikat minyak hanya mahu kaut keuntungan besar.
- Advertisement -

WASHINGTON: Rumah Putih marah dengan rekod keuntungan bersih Exxon Mobil Corp pada 2022 sebanyak AS$56 bilion (RM239 bilion), paling tinggi dalam sejarah bukan sahaja untuk syarikat itu tetapi keseluruhan industri minyak Barat.

- Advertisement -

Syarikat minyak utama dijangka memecahkan rekod tahunan berikutan harga tinggi dan permintaan yang melambung tinggi. Skala keuntungan itu menimbulkan kritikan terhadap industri minyak dan mencetuskan gesaan agar lebih banyak negara mengenakan cukai keuntungan luar biasa ke atas syarikat minyak.

Rumah Putih dalam kenyataan media menyatakan bahawa margin keuntungan Exxon amat menyakitkan kerana rakyat Amerika Syarikat (AS) terpaksa membayar harga yang mahal di stesen minyak, selain mengkritik usaha Republikan di Dewan Perwakilan untuk memperkenalkan dasar yang menyokong industri minyak.

“Laporan pendapatan terkini menunjukkan syarikat minyak mempunyai segala yang diperlukan, termasuk mencatatkan keuntungan dan ribuan permit yang tidak digunakan tetapi diluluskan, untuk meningkatkan pengeluaran.

“Namun, mereka sebaliknya memilih untuk mengaut keuntungan luar biasa untuk menampung kantung eksekutif dan pemegang saham. Republikan pula memberikan alasan demi alasan untuk melindungi mereka daripada memikul sebarang tanggungjawab,” kata Rumah Putih.

Presiden Joe Biden berulang kali mengecam syarikat minyak dan penapis tahun lalu kerana menikmati keuntungan luar biasa berikutan kenaikan harga minyak. Pada Jun 2022, Biden menulis surat kepada eksekutif penapis minyak utama dan mendakwa syarikat berkenaan mengurangkan pengeluaran untuk menambah keuntungan. – REUTERS

- Advertisement -