Protes di Peru: Semua rakyat Malaysia selamat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kedutaan Malaysia di Peru memaklumkan pihaknya sedang memantau dengan teliti perkembangan di negara Amerika Selatan itu, sambil menjelaskan tiada rakyat Malaysia terjejas dalam protes yang berlaku di beberapa bahagian negara termasuk di ibu kota Lima.

- Advertisement -

Kedutaan memaklumkan pihaknya mempunyai pelan kontingensi berdasarkan situasi semasa dan memantau dari pelbagai perspektif sekiranya pengaktifan pelan kontingensi diperlukan.

“Setakat ini, semua rakyat Malaysia di Peru selamat dan Kedutaan Malaysia telah menghubungi mereka dari semasa ke semasa.

“Rakyat Malaysia di Peru dinasihatkan berwaspada, mengelak kawasan yang terjejas demonstrasi dan protes serta mematuhi nasihat pihak berkuasa tempatan serta memantau media tempatan untuk mendapatkan maklumat terkini,” menurut kedutaan itu dalam satu kenyataan kepada Bernama.

Protes terhadap Presiden Peru Dina Boluarte melanda negara Amerika Selatan itu sejak bekas Presiden Pedro Castillo disingkirkan pada Disember dan ditahan selepas beliau cuba membubarkan Kongres secara haram.

Polis Peru memaklumkan pada Selasa bahawa pihaknya menyuraikan penunjuk perasaan yang menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Jorge Chavez berhampiran ibu kota Lima.

Mengulas lanjut, kedutaan memaklumkan bahawa protes masih berterusan di bahagian tertentu di Lima, terutama di pusat bandar dan bandar lain di sekitar Peru.

Pada ketika ini, terdapat 30 rakyat Malaysia berdaftar dengan Kedutaan di Peru yang terdiri daripada golongan profesional termasuk pegawai Kedutaan, doktor dan ahli perniagaan.

Sekiranya berlaku sebarang kecemasan, rakyat Malaysia di Peru dinasihatkan menghubungi Kedutaan menerusi talian (511) 422 0297, (511) 441 1939 dan (511) 441 0795 (semasa waktu pejabat), dan (+51) 9898 627 35 (selepas waktu pejabat). ) atau e-mel:[email protected]. – BERNAMA

- Advertisement -