Polis tahan tujuh lelaki, rampas syabu RM1.5 juta

Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain
- Advertisement -

KEPALA BATAS: Polis menahan tujuh lelaki termasuk lima sekeluarga dan merampas 41.81 kilogram (kg) syabu yang dibungkus menggunakan bungkusan teh cina bernilai RM1.5 juta dalam serbuan di Pokok Sena serta Bertam, di sini Sabtu dan Ahad lepas.

- Advertisement -

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata serbuan dilakukan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang yang bertindak hasil maklumat dan risikan.

“Dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Pokok Sena pada 8.45 malam Sabtu, polis menahan lima lelaki berusia 26 hingga 54 tahun dan pemeriksaan lanjut, polis merampas 11 bungkusan plastik teh cina dan dua bungkusan lut sinar mengandungi 11,448.70 gram (g) syabu bernilai RM412,112.

“Polis turut merampas beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk membungkus semula syabu berkenaan dan siasatan mendapati lima lelaki itu mempunyai pertalian keluarga iaitu adik-beradik, anak saudara dan bapa saudara,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, mereka menjadikan rumah milik seorang daripada lima lelaki tersebut sebagai tempat menyimpan stok syabu dan membungkus semula dadah berkenaan sebelum dijual kepada pembeli.

Mohd Shuhaily berkata susulan itu, polis menyerbu sebuah kiosk di Bertam pada 8 pagi Ahad dan menahan dua lelaki berusia 41 dan 47 tahun serta merampas 30 bungkusan teh cina mengandungi serbuk dan ketulan syabu seberat 30.358 kg bernilai RM1.09 juta yang diletakkan di dalam sebuah kereta Perodua Myvi.

Beliau berkata dua lelaki masing-masing seorang peniaga dan penganggur berkenaan dipercayai sedang berada di situ bagi urusan jual beli syabu.

“Daripada lima lelaki pertama yang ditahan, dua bekerja sebagai mekanik dan pemandu lori manakala tiga lagi adalah penganggur. Sindiket ini disyaki aktif menjalankan kegiatan itu sejak Jun lepas,” katanya.

Beliau berkata mereka mendapatkan bekalan syabu daripada rangkaian mereka di luar negara sebelum diseludup masuk ke negeri ini dan dijual di pasaran tempatan.

Menurutnya susulan penahanan tujuh lelaki itu, polis menyita empat kereta termasuk Toyota Alphard dan Vios serta Ford Ranger yang kesemuanya bernilai RM470,000 serta wang tunai RM1,000.

“Hasil ujian air kencing mendapati lima daripada mereka positif terhadap dadah selain lima daripada mereka juga mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah. Semuanya direman hingga 3 Feb ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dan menambah semua syabu itu boleh digunakan 210,000 penagih. – BERNAMA

- Advertisement -