
Majlis Ketua Polis Kebangsaan Britain (NPCC) dan Kolej Kepolisan memohon maaf kepada mangsa yang terselamat dan keluarga mangsa tragedi stadium bola sepak Hillsborough 1989 yang mengorbankan 97 penyokong Liverpool.
Perlawanan separuh akhir Piala FA 1989 adalah kejadian tragedi sukan terburuk di Britain apabila 96 penyokong Liverpool mati dihempap dalam stadium yang terlalu sesak dan berpagar di tingkat bawah.
Seorang lagi mangsa meninggal dunia pada Julai 2021 akibat kerosakan otak yang teruk dan tidak dapat dipulihkan.
Polis pada mulanya menyalahkan tragedi itu terhadap peminat mabuk, penjelasan yang selalu ditolak oleh mangsa yang terselamat, saudara mara mangsa dan penduduk Liverpool yang menghabiskan masa bertahun-tahun berjuang untuk mengetahui apa yang sebenar berlaku.
Hasil inkues dan siasatan bebas yang dijalankan kemudian membebaskan peminat daripada sebarang tanggungjawab.
“Polis mengecewakan mereka yang berduka akibat tragedi Hillsborough dan kami kesal kerana perkhidmatan ini membuat kesilapan,” kata Ketua Konstabel, Andy Marsh yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Kepolisan dalam satu kenyataan.

Katanya, kegagalan polis menjadi punca utama tragedi itu yang memilukan ahli keluarga bertahun-tahun dan apabila kepimpinan amat diperlukan, mereka yang berduka sering dilayan secara tidak sensitif, selain tindak balas yang tiada penyelarasan dan pengawasan.”
Pengerusi NPCC, Martin Hewitt, berkata beliau sangat menyesal terhadap kehilangan nyawa yang tragis serta kesakitan dan penderitaan yang dialami oleh keluarga 97 mangsa pada hari itu dan pada tahun-tahun berikutnya.
“Secara kolektif, perubahan yang dibuat sejak tragedi Hillsborough dan sebagai tindak balas kepada laporan Rt Reverend James Jones, bertujuan untuk memastikan kegagalan polis yang teruk pada hari itu dan selepas itu tidak berulang lagi,” katanya.
Pada 2019, bekas Cif Superintendan David Duckenfield, komander polis yang bertanggungjawab terhadap operasi di stadium, didapati tidak bersalah atas tuduhan membunuh – keputusan yang mengejutkan mangsa yang terselamat dan ahli keluarga mangsa.
Namun awal bulan ini, peminat Newcastle United mengadu mengenai kesesakan dan kekurangan pengawasan polis di Stadium Hillsborough ketika perlawanan Piala FA menentang Sheffield Wednesday di Leppings Lane End, gelanggang yang sama tragedi ini berlaku. – REUTERS