Pembukaan sempadan China: Kesan terhadap ekonomi Malaysia

- Advertisement -

SUSULAN daripada pelonggaran dasar ‘Sifar COVID-19’, China kini telah membuka sempadan negaranya pada 8 Januari 2023 setelah tiga tahun sekatan dilaksanakan. Hal ini demikian disebabkan tekanan ekonomi yang dihadapi oleh China selain protes besar-besaran yang dilakukan oleh rakyat mereka di seluruh negara.

Tindakan Kerajaan China ini telah menimbulkan kebimbangan masyarakat Antarabangsa termasuk Malaysia ekoran keputusan tersebut diambil ketika negara berkenaan masih berhadapan dengan peningkatan drastik penularan COVID-19. 

Hubungan diplomatik Malaysia dan China yang terjalin sejak tahun 1974 telah banyak membangunkan ekonomi kedua-dua negara terutama Malaysia sama ada daripada aspek pelaburan langsung asing, nilai perdagangan dan kedatangan pelancong ke negara ini.

China kekal menjadi negara utama yang menyumbang kepada pelaburan langsung asing di Malaysia untuk tiga tahun terakhir dengan nilai yang besar iaitu sebanyak RM15.3 bilion (2019), RM18.1 bilion (2020) dan RM16.6 bilion (2021) walaupun dunia berdepan dengan pandemik COVID-19.

Dari sudut pandang perdagangan pula, China merupakan rakan dagang Malaysia yang terbesar selama 13 tahun berturut-turut bermula tahun 2009 sehingga 2021. Namun begitu, walaupun mencatatkan jumlah perdagangan yang besar, nilai perdagangan China bukan sahaja mencatatkan penurunan pertumbuhan, bahkan mengalami penguncupan pada bulan-bulan tertentu terutamanya sepanjang tahun 2022. 

Meskipun Malaysia mempunyai hubungan dagangan yang begitu besar dengan China, Kerajaan perlu mengambil peluang dengan memaksimakan China sebagai rakan dagang utama negara. Satu kredit kepada kerajaan terdahulu yang segera mempelbagaikan sumber dagangan bagi mengurangkan kesan apabila global supply chain terputus berikutan pelaksanaan dasar sifar COVID-19 oleh China.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pertumbuhan perdagangan China mulai menurun bermula Februari 2022 sehinggalah mencapai penguncupan eksport sebanyak 8.8 peratus dan import sebanyak 10.6 peratus bagi bulan November 2022. Ia berbeza dengan pertumbuhan perdagangan daripada negara-negara lain yang menunjukkan pertumbuhan yang stabil dan konsisten.  

Dari perspektif pelancongan, walaupun Malaysia mengalami penurunan mendadak (83.4 peratus) kedatangan pelancong bagi tahun 2020 (4.3 juta) berbanding tahun 2019 (26.1 juta), pelancong dari China konsisten menjadi antara tiga penyumbang utama kepada hasil pelancongan negara ini selain Singapura dan Indonesia. Maka tidak pelik jika Menteri Pelancongan menyasarkan seramai 5 juta pelancong dari China akan memasuki Malaysia selepas pembukaan sempadan negara tersebut.

Beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Itali, Taiwan, Korea Selatan, Jepun dan Thailand telah mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) khusus sebagai langkah mengetatkan peraturan pencegahan wabak COVID-19 dengan memastikan pelancong China yang tiba di negara-negara tersebut telah lengkap menerima vaksin dan bebas daripada gejala COVID-19.

Kepentingan sektor ekonomi dan kesihatan seharusnya bergerak seiring tanpa menggadaikan salah satunya. Walaupun pembukaan sempadan China menjadi petunjuk positif kepada ekonomi negara, namun kebanjiran pelancong China tanpa kawalan juga perlu dititikberatkan demi kemaslahatan rakyat Malaysia. 

Oleh itu, kerajaan perlu menerangkan polisi-polisi keselamatan dengan menerima kedatangan pelancong China ke negara ini selain menjelaskan kepentingan ekonomi negara kepada rakyat. Di samping itu, kerajaan juga seharusnya menyediakan garis panduan yang jelas kepada pekerja industri penerbangan yang merupakan sektor utama dalam menerima pelancong China. Kerajaan wajar bertindak bijak dan mengambil iktibar daripada pengalaman sebelum ini.

ASYRAF SALLEH
Felo Penyelidik Ekonomi TSIS

SUZANA YUSOF
Felo Penyelidik Alam Sekitar TSIS – HARAKAHDAILY 1/2/2023

- Advertisement -
- Advertisement -